اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-923: HUKUM TARIAN DALAM NASYID

HUKUM_TARIAN_DALAM_NASYID.jpg

SOALAN

Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Apakah hukum tarian dalam nasyid? Mohon penjelasan SS Mufti.

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum tarian dalam nasyid adalah diharuskan selagi mana ia dilakukan secara sederhana dan tidak melampau, kerana tarian pada dasarnya tidak dianggap haram. Walau bagaimanapun, tarian akan menjadi haram jika ia melibatkan gerakan meliuk-liuk atau menyerupai perlakuan mukhannith (lelaki yang menyerupai wanita) yang dilarang dalam Islam. Oleh itu, tarian dalam nasyid dibolehkan jika ia dilakukan dengan sopan dan tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Secara asasnya, agama Islam tidak menghalang umatnya dari berhibur selagi mana hiburan tersebut tidak membawa kepada kelalaian dan melanggar batas-batas syarak. Hal ini kerana, Islam adalah sebuah agama yang menyeimbangkan tuntutan dunia dan akhirat. Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A:

أَنَّهَا زَفَّتِ امْرَأَةً إِلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ، فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا عَائِشَةُ، مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ؟ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ

Maksudnya:Aisyah R.A mempersiapkan seorang wanita untuk dinikahi seorang lelaki. Lalu Rasulullah SAW pun bersabda: “Wahai Aisyah, tidak adakah sebarang hiburan dalam majlis perkahwinan ini? Sesungguhnya kaum Ansar amat menyukai hiburan”.

(Riwayat al-Bukhari)

Menurut Ibn Battal hadis tersebut menyatakan keharusan untuk berhibur dan berseronok selama mana ia tidak menghalang dari mengingati dan mentaati perintah Allah SWT.[1] Oleh itu, jelaslah bahawa di dalam Islam terdapat bahagian-bahagian yang dibenarkan oleh syarak untuk berhibur.

Secara umumnya, terdapat dalil yang menunjukkan akan keharusan tarian jika ia melibatkan pergerakan yang sederhana tanpa elemen sensual. Hal ini berdasarkan kenyataan Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin:

وَالرَّقْصُ لَيْسَ بِحَرَامٍ، قَالَ الْحَلِيمِيُّ: لَكِنَّ الرَّقْصَ الَّذِي فِيهِ تَثَنٍّ وَتَكَسُّرٌ يُشْبِهُ أَفْعَالَ الْمُخَنَّثِينَ حَرَامٌ عَلَى الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ

Maksudnya: “Tarian itu tidak haram. Al-Halimi berkata: Namun, tarian yang mengandungi lenggokan yang menyerupai perbuatan orang yang lembut seperti golongan mukhannath adalah haram bagi lelaki dan perempuan”[2]

Imam al-Khatib al-Syirbini juga menyatakan bahawa:

(لَا الرَّقْصُ) فَلَا يَحْرُمُ؛ لِأَنَّهُ مُجَرَّدُ حَرَكَاتٍ عَلَى اسْتِقَامَةٍ أَوْ اعْوِجَاجٍ، وَلَا يُكْرَهُ كَمَا صَرَّحَ بِهِ الْفُورَانِيُّ وَغَيْرُهُ

Maksudnya: “Tarian tidak diharamkan kerana ia hanyalah gerakan biasa secara lurus atau berlenggok. Ia juga tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Furani dan yang lain.”[3]

Bahkan dinyatakan keharusan tarian ini berdasarkan hadis daripada Aisyah RA[4] seperti berikut:

جَاءَ حَبَشٌ يَزْفِنُونَ فِي يَوْمِ عِيدٍ فِي الْمَسْجِدِ، فَدَعَانِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَوَضَعْتُ رَأْسِي عَلَى مَنْكِبِهِ، فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ إِلَى لَعِبِهِمْ، حَتَّى كُنْتُ أَنَا الَّتِي أَنْصَرِفُ عَنِ النَّظَرِ إِلَيْهِمْ

Maksudnya: “Telah datang orang Habsyah menari pada hari raya di masjid. Lalu Nabi SAW memanggilku dan aku meletakkan kepalaku di atas bahu Baginda. Aku menonton tarian mereka sehingga aku mengalihkan pandanganku daripada mereka.”

(Riwayat Muslim)

Walau bagaimanapun, keharusan ini terikat selagi mana tarian tersebut tidak melenggok-lenggok seperti pergerakan seorang mukhannath. Ia merujuk kepada lelaki yang meniru akhlak wanita dalam gerakan atau tingkah laku. Justeru, dalam keadaan tersebut, tarian sebegini adalah dilarang bagi lelaki mahupun wanita.[5]

Begitu juga diharuskan tarian wanita dalam majlis yang dihadiri oleh wanita sahaja dengan syarat tarian tersebut tidak mengandungi gerakan tubuh yang menggoda. Ini berdasarkan keadaan Aisyah RA yang menyaksikan upacara tarian oleh dua orang hamba wanita pada hari perayaan yang dinyatakan dalam hadis berikut:

دَخَلَ أَبُو بَكْرٍ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ مِنْ جَوَارِي الْأَنْصَارِ، تُغَنِّيَانِ بِمَا تَقَاوَلَتِ الْأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثَ، قَالَتْ: وَلَيْسَتَا بِمُغَنِّيَتَيْنِ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَمَزَامِيرُ الشَّيْطَانِ فِي بَيْتِ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم؟ وَذَلِكَ فِي يَوْمِ عِيدٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا، وَهَذَا عِيدُنَا

Maksudnya: "Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahku dan ketika itu ada dua orang hamba perempuan sedang menyanyi dengan nyanyian Bu'ath. Baginda berbaring di atas tilam dan memalingkan wajahnya. Kemudian Abu Bakar masuk lalu memarahiku dan berkata, 'Seruling syaitan di sisi Rasulullah SAW?' Rasulullah SAW pun menghadap ke arahnya dan bersabda, 'Biarkanlah mereka berdua.' Apabila Baginda tidak memperhatikan, aku memberi isyarat kepada mereka berdua lalu mereka pun keluar. Ketika itu adalah hari raya, orang-orang Habsyah sedang bermain perisai dan tombak. Lalu sama ada aku meminta kepada Rasulullah SAW atau Baginda bertanya kepadaku, 'Adakah kamu ingin melihat?' Aku menjawab, 'Ya.' Baginda pun meletakkanku di belakangnya, pipiku di atas pipi Baginda, dan Baginda bersabda, 'Teruskanlah wahai Bani Arfidah!' (orang Habsyah) sehingga aku berasa jemu. Baginda bertanya, 'Sudah cukup?' Aku menjawab, 'Ya.' Baginda bersabda, 'Pergilah.'"

(Riwayat Muslim)

Selain itu, Syeikh Yusuf al-Qardhawi juga menjelaskan beberapa kategori tarian yang diharamkan iaitu:

  • Tarian yang bertujuan untuk menggoda dan membangkitkan syahwat serta berpakaian yang mendedahkan aurat.
  • Tarian wanita di hadapan lelaki bukan mahram.
  • Tarian yang bercampur dan bersentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram[6]

Seterusnya, merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Institusi Fatwa Jordan yang menjelaskan berkaitan garis panduan tarian yang dibenarkan oleh Syarak. Keharusan ini tertakluk dengan syarat-syarat seperti tiada percampuran antara lelaki dan wanita ajnabi, lelaki tidak meniru gaya dan penampilan wanita, tarian tidak mengandungi gerakan melenggok yang menyerupai perbuatan orang yang lembut serta tidak disertai dengan alunan muzik yang diharamkan.[7]

Garis Panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menyatakan dalam Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam dalam Media Baharu[8] seperti berikut:

11. Mengandungi percakapan dan perbuatan yang menyalahi nilai akhlak Islam.

Contohnya dalam penulisan, percakapan, lakonan, ilustrasi, lirik lagu, parodi, animasi, simbol dan sebagainya mengandungi perkara-perkara berikut:

(a) Menyebarkan fitnah, berita palsu, adu domba, mendedahkan keaiban, mencaci, mencarut, mengejek, membuli, menunjuk-nunjuk dan sebagainya.

(b) Menghina bangsa, budaya, atau agama yang menjejaskan perpaduan dalam kepelbagaian masyarakat majmuk.

(c) Mempersenda atau merendah-rendahkan ritual, simbol atau imej agama lain.

(d) Melakukan provokasi yang mengundang ketidakpuasan hati mana-mana pihak atau individu.

(e) Memanipulasi atau menggunakan hak orang lain tanpa kebenaran antaranya eksploitasi gambar, video atau tulisan orang lain tanpa pengetahuannya, ciplak, curi data dan sebagainya.”

Begitu juga, dalam sebuah poster terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia juga menyatakan bahawa kandungan hiburan sebagaimana senikata, lagu dan nyanyian yang disampaikan hendaklah:

  1. Tidak mempunyai unsur maksiat.
  2. Tidak lagha (sia-sia)
  3. ⁠Tidak mendorong pendengar dan remaja kepada melakukan maksiat dan dosa.
  4. ⁠Tidak merangsang keghairahan nafsu menerusi tema-tema cinta yang melampau.
  5. Tidak mempunyai luahan perasaan dan kerinduan yang berlebihan kepada manusia.

Kesimpulan

Hukum tarian dalam nasyid adalah diharuskan selagi mana ia dilakukan secara sederhana dan tidak melampau, kerana tarian pada dasarnya tidak dianggap haram. Walau bagaimanapun, tarian akan menjadi haram jika ia melibatkan gerakan meliuk-liuk atau menyerupai perlakuan mukhannath (lelaki yang menyerupai wanita) yang dilarang dalam Islam. Oleh itu, tarian dalam nasyid dibolehkan jika ia dilakukan dengan sopan dan tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan:

[1] Abd al-Malik, Ibn Battal Abu al-Hasan ‘Ali bin Khalaf. Syarh Sohih al-Bukhari Li Ibn Battal. (Riyadh: Maktabah al-Rusyd.2003M). Jld 9 hlm 71.

الغناء واللهو الذى لا يصد عن ذكر الله وطاعته مباح

[2] Al-Nawawi, Yahya bin Syarf. Raudhah al-Talibin Wa ‘Umdah al-Muftin. (Beirut: al-Maktab al-Islami, 1991). Jld 11 hlm 229.

[3] Al-Khatib al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (Ttp: Dar al-Kutub al-’Ilmiiyah, 1994). 6/350.

[4] Ibid.

بَلْ يُبَاحُ لِخَبَرِ الصَّحِيحَيْنِ «أَنَّهُ صلى الله عليه وسلم وَقَفَ لِعَائِشَةَ - رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهَا - يَسْتُرُهَا حَتَّى تَنْظُرَ إلَى الْحَبَشَةِ وَهُمْ يَلْعَبُونَ وَيَرْفِسُونَ» ‌وَالرَّفْسُ: ‌الرَّقْصُ، ‌وَكَانَتْ ‌عَائِشَةُ ‌إذْ ‌ذَاكَ ‌صَغِيرَةً، أَوْ قَبْلَ أَنْ تَنْزِلَ آيَةُ الْحِجَابِ، أَوْ أَنَّهَا كَانَتْ تَنْظُرُ إلَى لَعِبِهِمْ، لَا إلَى أَبْدَانِهِمْ

[5] Ibid.

ثُمَّ اسْتَثْنَى الْمُصَنِّفُ مِنْ إبَاحَتِهِ مَا ذَكَرَهُ بِقَوْلِهِ (إلَّا أَنْ) (يَكُونَ فِيهِ تَكَسُّرٌ كَفِعْلِ الْمُخَنِّثِ) وَهُوَ بِكَسْرِ النُّونِ أَفْصَحُ مِنْ فَتْحِهَا، وَبِالْمُثَلَّثَةِ: مَنْ يَتَخَلَّقُ بِأَخْلَاقِ النِّسَاءِ فِي حَرَكَةٍ أَوْ هَيْئَةٍ فَيَحْرُمُ عَلَى الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ كَمَا فِي أَصْلِ الرَّوْضَةِ عَنْ الْحَلِيمِيِّ وَأَقَرَّهُ، فَإِنْ كَانَ ذَلِكَ خِلْقَةً فَلَا إثْمَ.

[6] Al-Qardhawi, Yusuf. Ahkam al-Raqs: al-Mubah wa al-Muharram. 2009. Diakses melalui pautan: https://www.al-qaradawi.net/node/4168

[7] https://aliftaa.jo/research-fatwas/1985?utm_source=chatgpt.com

جاء في فتوى لجنة الإفتاء بالأردن: (بالنسبةِ للرَّقصِ في الأعراسِ فيجوزُ بشروطٍ: عدَمُ الاختلاطِ بين الرِّجال والنِّساءِ، وعدمُ تشبُّه الرِّجالِ بالنِّساء، وعدَمُ التكَسُّرِ في الرَّقصِ، سواءٌ بين الرِّجالِ أنفُسِهم أو بين النِّساءِ أنفُسِهنَّ، وألَّا تُصاحِبَه الموسيقى المحرَّمةُ.)

[8] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam dalam Media Baharu. (Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2024) Hlm. 16. https://www.islam.gov.my/ms/garis-panduan/4570-garis-panduan-kandungan-berunsur-islam-dalam-media-baharu