Soalan
Assalamualaikum, saya nak tanya soalan. Baru-baru ini kita dihebohkan berkenaan gelaran ‘non-muslim’ dan kafir untuk orang bukan Islam. Ada yang kata lebih baik guna gelaran ‘non-muslim’ atau bukan Islam kerana lebih lembut. Adakah boleh mengharamkan orang lain untuk menyebut perkataan kafir?
Ringkasan Jawapan
Istilah ‘kafir’ merupakan kalimah dalam bahasa Arab dan ia merupakan lafaz yang telah disebutkan pada banyak tempat dalam al-Quran dan hadis. Istilah ini merujuk kepada golongan yang tidak mengakui Allah SWT sebagai tuhan, tidak mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW dan menolak kewujudan hari kebangkitan. Ia melambangkan perbezaan antara iman dan kekufuran dan ia tidak akan berubah.
Berdasarkan pendekatan dalam fiqh mizan, penggunaan istilah kafir dalam konteks interaksi antara orang Islam dan bukan Islam boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan situasi yang memerlukan kepada istilah yang lebih harmoni khususnya dalam uslub dakwah. Usaha sesetengah pihak yang menggunakan gelaran seperti ‘non-muslim’ ketika berinteraksi merupakan salah satu uslub dalam berdakwah kepada golongan bukan Islam. Melalui pendekatan mizan yang berlainan ini, umat Islam berupaya mendepani pelbagai isu dengan pendekatan yang seimbang.
Mengharamkan langsung penggunaan istilah ‘kafir’ dalam kehidupan seharian bukanlah tindakan yang tepat. Namun jika larangan tersebut dilakukan atas dasar dakwah dan hidup bermasyarakat, maka ia adalah selari dengan tuntutan umum al-Quran yang memerintahkan supaya berdakwah kepada orang bukan Islam dengan penuh hikmah.
Huraian
Secara umumnya, terdapat banyak ayat dalam al-Quran yang menyebut perihal golongan kafir, menjelaskan siapakah yang dimaksudkan sebagai orang kafir dan apakah ciri-ciri mereka. Antaranya menerusi firman Allah SWT:
لَمْ يَكُنِ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ مُنفَكِّينَ حَتَّىٰ تَأْتِيَهُمُ الْبَيِّنَةُ
Maksudnya: “Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing- masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata”
Surah al-Bayyinah (1)
Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan bahawa ayat ini memberi gelaran kafir kepada golongan Ahl al-Kitab (Yahudi dan Nasrani), serta kaum musyrikin iaitu mereka yang menyekutukan Allah SWT. Sesungguhnya agama yang diterima disisi Allah SWT adalah agama Islam manakala agama lain seperti Yahudi, Nasrani, dan agama orang musyrik tidak diterima malah sesiapa yang berbuat baik dari kalangan orang-orang kafir tidak terlepas dari azab Allah SWT di akhirat kelak[1].
Selain itu, Imam al-Qurtubi menerangkan dengan lebih spesifik bahawa ayat ini ditujukan kepada golongan Yahudi di Madinah ketika zaman Nabi Muhammad SAW terutamanya Bani Nadhir, Bani Quraizah dan Bani Qainuqa’, serta orang musyrikin Mekah dan beberapa orang musyrikin di Madinah. Kedua-keduanya memiliki persamaan iaitu menolak kerasulan Nabi Muhammad SAW dan al-Quran, lalu diberikan gelaran kafir[2].
Berdasarkan penjelasan tafsir di atas, al-Quran memberi gelaran kafir kepada golongan Ahl al-Kitab yang terdiri daripada orang Yahudi dan Nasrani, serta golongan musyrik yang menyekutukan tuhan selain Allah SWT dan tidak menerima kenabian nabi Muhammad SAW. Dengan itu, gelaran kafir adalah gelaran yang tepat bagi golongan bukan Islam, bahkan ia tidak termasuk dalam bentuk penghinaan terhadap mereka.
Pada masa yang sama, usaha sesetengah pihak yang memberi gelaran ‘non-muslim’ kepada golongan bukan Islam khususnya dalam konteks sosial boleh dikategorikan sebagai salah satu uslub dalam berdakwah demi mewujudkan suasana yang harmoni dalam masyarakat. Namun begitu, istilah ‘kafir’ merupakan istilah yang relevan dan akan kekal selamanya kerana telah dinyatakan dalam al-Quran. Malah makna ‘kafir’ adalah asas kepada golongan ‘non-muslim’ itu sendiri.
Walaupun begitu, umat Islam dilarang memanggil golongan kafir dengan menggunakan gelaran seakan-akan cacian dan ejekan. Allah SWT berfirman:
وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ
Maksudnya: “Janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman”
Surah al-Hujurat (1)
Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili memasukkan ayat ini di dalam bab adab bergaul dengan orang Islam dan masyarakat secara am. Menurut beliau, dilarang bagi seseorang Muslim menggelar orang Islam yang lain dengan panggilan seperti “Hei Yahudi!” atau “Hei Nasrani!”. Bahkan dilarang juga memanggil orang kafir dengan panggilan yang berbentuk penghinaan atau cacian seperti “Hei anjing”, “Hei keldai” dan “Hei khinzir”[3].
Mengharamkan langsung perkataan kafir dalam kehidupan akan memberi kesan seolah-olah menafikan wujudnya istilah kafir. Di samping, umat Islam juga dilarang untuk bermudah-mudah dalam bab menghalal atau mengharamkan sesuatu. Allah SWT berfirman:
وَلَا تَقُولُوا۟ لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ ٱلْكَذِبَ هَٰذَا حَلَٰلٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ ۚ
Maksudnya: “Janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: "Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah”
(Surah al-Nahl: 16)
Syeikh Muhammad Amin al-Syanqiti menjelaskan ayat ini dengan berkata bahawa para ulama salaf sangat berhati-hati dalam menghukum sesuatu perkara sebagai halal atau haram. Walau bagaimanapun jika yang dimaksudkan dengan perkataan “mengharamkan” adalah larangan semata-mata untuk tujuan dakwah maka ia adalah selari dengan konsep dakwah yang diajarkan oleh al-Quran yang memerintahkan untuk berdakwah dengan penuh hikmah[4]. Allah SWT berfirman:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik.”
(Surah al-Nahl)
Syeikh Yusuf al-Qaradawi berkata bahawa termasuk dalam konsep menyeru manusia dengan hikmah dan nasihat-nasihat yang baik terutama di era globalisasi ini untuk tidak memanggil orang yang tidak beriman dengan nama kafir walaupun kita meyakini bahawa mereka itu kafir[5].
Kesimpulan
Istilah ‘kafir’ merupakan kalimah dalam bahasa Arab dan ia merupakan lafaz yang telah disebutkan pada banyak tempat dalam al-Quran dan hadis. Istilah ini merujuk kepada golongan yang tidak mengakui Allah SWT sebagai tuhan, tidak mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW dan menolak kewujudan hari kebangkitan. Ia melambangkan perbezaan antara iman dan kekufuran dan ia tidak akan berubah.
Berdasarkan pendekatan dalam fiqh mizan, penggunaan istilah kafir dalam konteks interaksi antara orang Islam dan bukan Islam boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan situasi yang memerlukan kepada istilah yang lebih harmoni khususnya dalam uslub dakwah. Usaha sesetengah pihak yang menggunakan gelaran seperti ‘non-muslim’ ketika berinteraksi merupakan salah satu uslub dalam berdakwah kepada golongan bukan Islam. Melalui pendekatan mizan yang berlainan ini, umat Islam berupaya mendepani pelbagai isu dengan pendekatan yang seimbang.
Mengharamkan langsung penggunaan istilah ‘kafir’ dalam kehidupan seharian bukanlah tindakan yang tepat. Namun jika larangan tersebut dilakukan atas dasar dakwah dan hidup bermasyarakat, maka ia adalah selari dengan tuntutan umum al-Quran yang memerintahkan supaya berdakwah kepada orang bukan Islam dengan penuh hikmah.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Abu al-Fida’ Ismail Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah,1419H), 8:438.
أَمَّا أَهْلُ الْكِتَابِ فَهُمُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى وَالْمُشْرِكُونَ عَبَدَةُ الْأَوْثَانِ وَالنِّيرَانِ مِنَ الْعَرَبِ وَمِنَ الْعَجَمِ
[2] Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran (Kaherah:Dar al-Kutub al-Misriyyah,1964), 20:140.
قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ أَهْلِ الْكِتابِ: الْيَهُودُ الَّذِينَ كَانُوا بِيَثْرِبَ، وَهُمْ قُرَيْظَةُ وَالنَّضِيرُ وَبَنُو قَيْنُقَاعَ
[3] Dr. Wahbah az-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Syari’ah wa al-Manhaj. (Beirut, Dar al-Fikr, 2009) 26:253
كأن يقول لمن أسلم: يا يهودي، يا نصراني، أو يقول لأي إنسان: يا كلب، يا حمار، يا خنزير، ويعزر المرأ القائل ذلك بعقوبة تعزيره
[4] Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti, Adwa’ al-Bayan fi Idhoh al-Quran bi al-Quran (Beirut, Dar al-Fikr, 1995) 2:426.
كَانَ السَّلَفُ الصَّالِحُ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ - يَتَوَرَّعُونَ عَنْ قَوْلِهِمْ: هَذَا حَلَالٌ وَهَذَا حَرَامٌ ; خَوْفًا مِنْ هَذِهِ الْآيَاتِ
[5] Dr Yusuf al-Qaradawi, Khitabuna al-Islami fi Asr al-Aulamah (Qahirah, Dar al-Syuruq, 2004) 44.
ومن الدعوة بالحكمة والموعظة الحسنة ومن الجدال بالتي هي أحسن المطالب به المسلمون وخصوصا في عصر العولمة الا نخاطب المخالفين لنا باسم الكفار وإن كنا نعتقد كفرهم