اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-925: HUKUM DOA KUATKAN TENAGA BATIN

HUKUM_DOA_KUATKAN_TENAGA_BATIN.jpg

Soalan

Assalamualaikum Datuk, saya mendengar seorang penceramah yang terkenal mengajarkan orang ramai berkaitan doa untuk menguatkan tenaga batin orang lelaki. Adakah benar doa tersebut diajarkan dalam agama? Apakah hukum kita membaca doa tersebut?

Ringkasan Jawapan

  1. Riwayat ini merupakan riwayat yang lemah kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang dikritik sebagai daif seperti Muhammad bin ‘Abd al-‘Aziz al-Ramli dan Risydin bin Sa‘d. Sekalipun riwayat ini lemah namun ia boleh digunakan dalam perkara selain daripada hukum hakam, halal haram dan akidah.
  2. Amalan doa ini merupakan amalan ulama salaf, justeru tidak boleh disandarkan kepada Nabi SAW.
  3. Terdapat keluasan dalam mengamalkan doa, selagi mana doa yang dibaca tersebut tidak bercanggah dengan syarak maka hukumnya adalah harus walaupun ia bukan daripada Nabi SAW.
  4. Bagi suami yang mengalami masalah lemah tenaga batin boleh merujuk kepada pakar perubatan yang berautoriti untuk mendapatkan rawatan yang sesuai. Di samping itu, hendaklah bertawakal serta berdoa kepada Allah SWT dengan apa sahaja lafaz yang dirasakan sesuai disertai niat yang baik.

Huraian Jawapan

Doa tersebut pada hakikatnya adalah merupakan doa yang dibaca oleh salah seorang Tabi’in bernama Muhammad bin al-Munkadir, beliau seorang yang soleh dan seringkali menangis ketika membacakan hadis Nabi SAW. Kebanyakan ulama berpandangan bahawa beliau wafat pada tahun 130 Hijrah.[1] Diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam I’tilal al-Qulub[2] dan al-Hakim al-Tirmizi dalam al-Nawadir al-Usul[3]:

حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ دَاوُدَ الْقَنْطَرِيُّ قَالَ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ الرَّمْلِيُّ قَالَ: حَدَّثَنَا رِشْدِينُ بْنُ سَعْدٍ، عَنْ زُهْرَةَ بْنِ مَعْبَدٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ الْمُنْكَدِرِ: " أَنَّهُ كَانَ يَدْعُو فِي صَلَاتِهِ: «اللَّهُمَّ قَوِّ لِي ذَكَرِي، فَإِنَّ فِيهِ صَلَاحًا لِأَهْلِي»

Maksudnya: “Telah meriwayatkan kepadaku Ali bin Daud al-Qantari, ia berkata: telah meriwayatkan kepada kami Muhammad bin Abdul Aziz al-Ramli dan dia berkata: telah meriwayatkan kepada kami Risydin bin Saad daripada Zuhrah bin Ma’bad daripada Muhammad bin al-Munkadir.”

Senarai_Perawi.jpg

Setelah meneliti sanad riwayat tersebut, kajian mendapati bahawa sanad riwayat ini lemah disebabkan terdapat beberapa perawi bagi sanad ini yang dikritik sebagai daif seperti Muhammad bin ‘Abd al-‘Aziz al-Ramli dan Risydin bin Sa‘d.

Meskipun riwayat tersebut adalah lemah namun ia disebutkan oleh para ulama dalam kitab mereka seperti Imam al-Suyuti dalam al-Dur al-Mansur fi Tafsir bi al-Ma’thur[10] dan Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam Raudhah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Musytaqin[11]. Amalan doa ini merupakan amalan ulama salaf bukannya hadis yang disandarkan kepada Nabi SAW. Kebanyakan ulama meriwayatkan athar tersebut dalam bab kelebihan berdoa. Umat Islam dituntut untuk berdoa dan meminta kepada Allah SWT dalam semua keadaan. Diriwayatkan daripada Aisyah RA, Nabi SAW bersabda:

سلُوا اللهَ كُلَّ شيءٍ حتى الشَّسْعَ ، فإِنَّ اللهَ إِنْ لم يُيَسِّرْهُ لم يَتَيَسَّرْ

Maksudnya: “Mintalah kepada Allah semua perkara hinggakan tali selipar yang putus, kerana sesungguhnya jika Allah tidak mempermudahkannya maka ia tidak akan menjadi mudah.”

(Riwayat Abu Ya’la)

Imam al-San‘ani berkata: Tidak ada jalan untuk mencapai kebaikan dalam agama atau dunia melainkan dengan berdoa kepada Allah SWT, maka janganlah seorang hamba malas meminta dan berdoa kepada Allah SWT, kerana Dia Tuhan yang tidak kedekut dalam memberi[12].

Pada asasnya jika terdapat doa yang diajarkan oleh Nabi SAW dalam sesuatu perkara maka doa tersebut adalah yang paling afdal untuk diamalkan. Namun jika tidak ada doa yang diajarkan oleh Nabi SAW dalam perkara tersebut maka dia boleh membaca apa sahaja doa yang sesuai selagi mana tidak bercanggah dengan syarak. Berkata Imam Abu Bakar Ibn al-Arabi:

أن الدعاء وإن كان الأفضل فيه التيمن بما روي عن رسول الله، - صلى الله عليه وسلم -، والتبرك بألفاظه الصحيحة الفصيحة فإنه يجوز لكل أحد من العلماء بالله تعالى أن يدعو بما شاء غير المأثور، ولكن لا يخرج عن التوحيد.

Maksudnya: “Walaupun sebaik-baik doa adalah membaca apa yang telah diriwayatkan daripada Rasulullah SAW dan mengambil keberkatan dengan menggunakan perkataan Baginda yang tepat dan fasih, namun harus bagi orang yang berilmu untuk berdoa dengan apa sahaja yang dikehendakinya selain daripada yang diriwayatkan, tetapi mestilah tidak menyimpang daripada tauhid[13].”

Nabi SAW melarang untuk melampaui batas dalam berdoa. Sabda Nabi SAW:

إنَّهُ سيَكونُ في هذِهِ الأمَّةِ قومٌ يَعتدونَ في الطَّهورِ والدُّعاءِ

Maksudnya: “Sesungguhnya akan ada dalam kalangan umatku, satu kaum yang melampau dalam bersuci dan berdoa.”

(Riwayat Abu Daud)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan hadis di atas dengan katanya: Melampau dalam doa berlaku dengan berdoa melebihi daripada keperluan atau meminta sesuatu yang tidak mungkin diperolehi menurut syarak atau meminta perkara yang berbentuk maksiat atau berdoa sesuatu yang tidak mendatangkan kesan[14].

Kesimpulan

i. Riwayat ini merupakan riwayat yang lemah kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang dikritik sebagai daif seperti Muhammad bin ‘Abd al-‘Aziz al-Ramli dan Risydin bin Sa‘d. Sekalipun riwayat ini lemah namun ia boleh digunakan dalam perkara selain daripada hukum hakam, halal haram dan akidah.

ii. Amalan doa ini merupakan amalan ulama salaf, justeru tidak boleh disandarkan kepada Nabi SAW.

iii. Terdapat keluasan dalam mengamalkan doa, selagi mana doa yang dibaca tersebut tidak bercanggah dengan syarak maka hukumnya adalah harus walaupun ia bukan daripada Nabi SAW.

iv. Bagi suami yang mengalami masalah lemah tenaga batin boleh merujuk kepada pakar perubatan yang berautoriti untuk mendapatkan rawatan yang sesuai. Di samping itu, hendaklah bertawakal serta berdoa kepada Allah SWT dengan apa sahaja lafaz yang dirasakan sesuai disertai niat yang baik.

Wallahua‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Syams al-Din Muhammad bin Ahmad al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala’, Basyar Awwadh Ma’ruf (Beirut: Muasasah al-Risalah, 1985), jld. 5, hlm. 360.

[2] Muhammad bin Ja’far al-Kharaiti, I’tilal al-Qulub, Hamdi Dimradasyh (Makkah: Maktabah Nizar Mustafa al-Bazz, 2000) jld. 1, hlm. 106.

[3] Al-Hakim al-Tirmizi, Nawadir al-Usul fi Ahadis al-Rasul, Abdul Rahman Umairah (Beirut: Dar al-Jill, t.t) jld. 2, hlm. 114.

[4] Syams al-Din Muhammad bin Ahmad al-Zahabi, Mizan al-I’tidal fi Naqd al-Rijal, ‘Ali Muhammad al-Bijawi (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1963), jld. 3: hlm. 126.

على بن داود [ق] القنطرى.

صالح الحديث.

وثقه ابن حبان، والخطيب.

[5] Ibid., jld. 3: hlm. 628.

وقال أبو زرعة: ليس بالقوي.

[6] Ibn Hajar al-’Asqalani, Lisan al-Mizan, ed. ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah (t.tp.: Dar al-Basyair al-Islamiyyah, 2002), jld. 9: hlm. 411.

ضعيف على اختلاف مراتب الضعف.

[7] Syams al-Din Muhammad bin Ahmad al-Zahabi, Tarikh al-Islam, ed. Basyar ‘Awwad Ma’ruf (t.tp.: Dar al-Gharb al-Islami, 2003), jld. 4: hlm. 849.

وَقَالَ أَبُو حَاتِمٍ: هُوَ أَضْعَفُ مِنِ ابْنِ لَهِيعَةَ.

[8] Syams al-Din Muhammad bin Ahmad al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala’, ed. Majmu’ah al-Bahithin bi Isyraf Syu’aib al-Arna’ut (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1985), jld. 6: hlm. 148.

وَقَالَ النَّسَائِيُّ: ثِقَةٌ

[9] Ibid., jld. 5: hlm. 354.

وَقَالَ ابْنُ مَعِيْنٍ، وَأَبُو حَاتِمٍ: ثِقَةٌ.

[10] Jalal al-Din al-Suyuti, al-Dur al-Mansur fi Tafsir bi al-Ma’thur (Beirut: Dar al-Fikr, t.t) jld. 7, hlm. 303.

[11] Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Raudhah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Musytaqin (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1983) hlm. 214.

[12] Muhammad bin Ismalik al-Sana’ani, al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Soghir, Muhammad Ishak (Riyadh: Maktabah Dar al-Salam, 2011) jld. 6, hlm. 411.

[13] Ibn al-Arabi al-Maafiri al-Maliki, al-Qabas fi Syarh al-Muwatta’, Muhammad Abdullah Walid Karim (Beirut: Dar al-Gharb al-Islami, 1992) hlm. 422.

[14] Ahmad bin Ali bin al-Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari (Mesir: Maktabah al-Salafiyyah, 1390H) jld. 8, hlm. 298.

والاعتداء في الدعاء يقع بزيادة الرفع فوق الحاجة أو بطلب ما يستحيل حصوله شرعا أو بطلب معصية أو يدعو بما لم يؤثر،