اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-926: AKUPUNTUR DALAM PERSPEKTIF ISLAM DAN ETIKA PERUBATAN DI MALAYSIA

AKUPUNTUR_DALAM_PERSPEKTIF_ISLAM_DAN_ETIKA_PERUBATAN_DI_MALAYSIA.jpg

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti, baru-baru ini ada tular isu berkenaan bahawa akupuntur merupakan satu rawatan yang kebarangkalian menggunakan sihir. Jadi mohon pencerahan berkenaan isu ini. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum rawatan akupunktur dalam Islam secara umumnya adalah harus, tetapi ia perlu diikat dengan beberapa syarat berikut:

  1. Tidak mengandungi unsur syirik.
  2. Tidak menggunakan barang atau bahan yang diharamkan.
  3. Dilakukan oleh pakar yang bertauliah.
  4. Tidak memudaratkan pesakit.
  5. Bertujuan untuk merawat dan bukan untuk tujuan yang haram.

Pendahuluan

Akupunktur merupakan salah satu kaedah rawatan tradisional Cina yang semakin diterima di seluruh dunia termasuk dalam masyarakat Islam. Akupunktur merupakan satu kaedah rawatan tradisional yang berasal dari China telah mengalami peningkatan penerimaan yang ketara di seluruh dunia.[1] Perubatan ini semakin mendapat perhatian dan telah menimbulkan persoalan mengenai kesesuaiannya dengan prinsip syariah Islam. Adalah menjadi kewajipan bahawa amalan perubatan tersebut selaras dengan syarak dan maqasid Islam agar ia dibenarkan oleh syarak.

Akupunktur melibatkan teknik mencucuk dan memanipulasi jarum filiform yang halus pada titik-titik tertentu pada bahagian badan (titik akupuntur) untuk mengurangkan kesakitan dan ia juga dikenali sebagai meridian.[2] Menurut Tuan Haji Mahadizan Hamzah[3], terdapat lebih kurang 360 titik utama dalam proses melakukan akupuntur. Menurut beliau lagi, rawatan standard akupuntur tidak melibatkan sebarang bacaan sama ada jampi atau mantera tertentu.[4]

Menurut teori perubatan Cina, meridian ini adalah saluran tenaga (qi) yang mengalir dalam tubuh. Apabila aliran qi terganggu, ia boleh menyebabkan penyakit.[5] Dengan menstimulasi titik-titik ini, penggunaan akupunktur bertujuan untuk mengembalikan keseimbangan aliran qi dan seterusnya memulihkan kesihatan. Dari sudut pandang saintifik moden, akupunktur dipercayai merangsang sistem saraf, menyebabkan pembebasan endorfin (penghilang sakit pada badan), dan mempengaruhi fungsi hormon serta imun.

Di Malaysia, perkembangan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) telah melalui proses pembangunan yang sistematik dan berlandaskan dasar kebangsaan sejak tahun 2001. Dasar PT&K yang disemak semula pada tahun 2007 telah menjadi tonggak utama dalam merangka hala tuju dan pelaksanaan perkhidmatan ini di peringkat nasional. Penubuhan Bahagian PT&K (BPTK) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2004 dan pengiktirafan Jemaah Menteri pada tahun 2006 terhadap hospital integrasi menunjukkan komitmen kerajaan untuk menggabungkan PT&K ke dalam sistem kesihatan arus perdana.[6]

Melalui pelaksanaan secara berperingkat, sebanyak 14 buah fasiliti kesihatan kerajaan telah menawarkan perkhidmatan PT&K menjelang tahun 2022. Penstrukturan semula BPTK pada tahun 2013 telah memperkukuh peranan unit ini dalam menyelaras dasar, strategi dan aktiviti berkaitan perkhidmatan PT&K. Pelbagai bentuk rawatan termasuk akupunktur, terapi herba, dan rawatan postnatal telah diperkenalkan di hospital terpilih seiring dengan Pelan Transformasi Penjagaan Tradisional Postnatal yang bermula pada 2018.[7]

Kemuncak kepada usaha pemerkasaan sektor ini ialah pewartaan Akta PT&K (Akta 775) pada tahun 2016 dan penguatkuasaan peraturannya mulai tahun 2021, yang menyaksikan proses pendaftaran rasmi pengamal PT&K secara berperingkat di seluruh negara.[8]

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) dalam sistem kesihatan negara, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyediakan enam jenis perkhidmatan utama iaitu urutan tradisional, penjagaan tradisional postnatal, akupunktur, terapi herba sebagai rawatan sokongan bagi pesakit kanser, rawatan Shirodhara dan Terapi Basti Luaran.[9]

Huraian Jawapan

Dalam konteks Islam, sesuatu amalan perubatan perlu memenuhi beberapa kriteria syarak agar ia diharuskan. Hal ini sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ، وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً، فَتَدَاوَوْا، وَلَا تَتَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT menurunkan penyakit dan ubatnya. Dia menjadikan bagi setiap penyakit itu ubat. Oleh itu, berubatlah kamu dan jangan sesekali kamu berubat dengan benda yang haram”.

(Riwayat Abu Daud)

Hadis ini menjelaskan bahawa Islam menganjurkan umatnya untuk berubat selagi ia tidak melibatkan penggunaan bahan dan perkara yang haram. Terdapat kaedah fiqh yang menyatakan:

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: “Asal sesuatu perkara adalah harus melainkan terdapat sebarang dalil tentang pengharamannya.[10]

Asasnya, sesuatu perkara (yang tidak melibatkan ibadah khusus) adalah harus selagi tiada dalil yang mengharamkannya. Hal ini sebagaimana kaedah perubatan akupunktur, secara asalnya adalah diharuskan selagi tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Bahkan secara teknikalnya telah terbukti keberkesanan kaedah ini. Menurut keadah fiqh sesuatu perkara yang melibatkan urusan duniawi adalah berdasarkan keberkesanan dalam ujikaji sebagaimana kaedah fiqh seperti berikut:

مَصَالِحُ الدُّنْيَا وَمَفَاسِدُهَا تُعْرَفُ بِالتَّجَارِبِ وَالْعَادَاتِ

Maksudnya: “Kebaikan dan kerosakan yang melibatkan urusan duniawi hanya akan diketahui daripada tajarrub (pengalaman, eksperimen) dan adat.[11]

Keharusan suatu amalan perubatan ditentukan oleh beberapa aspek utama seperti berikut:

Pertama, sumber rawatan mestilah bersih (halal) dan tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan, seperti alkohol atau bahan-bahan yang berasal daripada haiwan yang tidak disembelih mengikut syarak.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:

نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الدَّوَاءِ الْخَبِيثِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melarang ubat yang kotor.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Syeikh Ali Al-Sobuni berkata: “Diharamkan ke atas mereka, apa yang kotor dan keji seperti darah, bangkai dan daging khinzir.”[12]

Al-Tibi berkata: Sesungguhnya Allah SWT menciptakan setiap penyakit itu ada ubatnya sama ada yang haram atau yang halal. Justeru, jangan sekali-kali menggunakan dengan cara pengubatan yang haram.[13]

Kedua, kaedah rawatan itu sendiri tidak boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih besar daripada manfaatnya, selaras dengan kaedah "tidak boleh memudaratkan diri sendiri atau orang lain" teks kaedah ini berasal daripada hadis Nabi SAW, lafaznya seperti berikut:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”

(Riwayat Ibn Majah)

Ketiga, rawatan tersebut tidak boleh melibatkan unsur syirik atau kepercayaan kepada kuasa selain Allah Taala, seperti penggunaan tangkal atau jampi yang bercanggah dengan akidah. Firman Allah SWT:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.

(Surah al-Jin: 6)

Keempat, niat di sebalik rawatan mestilah untuk mencari kesembuhan daripada Allah SWT dan bukan bergantung sepenuhnya dengan rawatan semata-mata.Ini berdasarkan kaedah fiqh yang masyhur:

الأُمُورُ بِمَقَاصِدَهَا

Maksudnya: “Setiap perkara bergantung kepada niatnya.[14]

Kelima, pengendali akupuntur mestilah individu yang mahir dalam ilmu tersebut serta mendapatkan pengesahan daripada pihak berautiriti. Hal ini sebagaimana saranan Nabi SAW yang bersabda:

مَنْ تَطَبَّبَ، وَلَا يُعْلَمُ مِنْهُ طِبٌّ، فَهُوَ ضَامِنٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).

(Riwayat Abu Daud)

Al-Muzhiri menjelaskan,

مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن

Maksudnya: Sesiapa yang memulakan pembelajaran dalam ilmu perubatan tetapi belum diiktiraf sebagai pakar dalam bidangnya, maka apabila dia merawat seorang pesakit maka dia bertanggungjawab (atas sebarang kesan atau mudarat).”[15]

Imam al-Munawi menyebut (فَهُوَ ضَامِنٌ) Seseorang yang menjalankan rawatan tanpa kelayakan dalam bidang perubatan bertanggung jawab membayar pampasan (diyat) sekiranya berlaku kematian akibat tindakannya. Namun, jika rawatan diberikan oleh seorang yang berkelayakan dan berusaha secara profesional, maka dia tidak dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku kematian.[16]

Selain itu, rawatan tradisional ini telah mendapat pengiktirafan daripada World Health Organisation (WHO) dan di Malaysia ia juga mendapat pengiktirafan serta tiada larangan pengamalannya daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dengan syarat mestilah berpandukan kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

Justeru, komuniti Muslim terutama yang melibatkan diri dengan perubatan tradisional akupunktur ini perlu memberi perhatian kepada beberapa perkara. Jarum yang digunakan mestilah steril dan bersih untuk mengelakkan jangkitan, yang merupakan aspek kebersihan yang amat ditekankan dalam Islam. Selain itu, sesi rawatan perlu dijalankan dalam persekitaran yang menjaga aurat pesakit, terutamanya bagi wanita, selaras dengan tuntutan syariah. Sekiranya rawatan melibatkan sentuhan badan, ia perlu dilakukan oleh pengamal yang mahram atau jantina yang sama melainkan dalam keadaan darurat yang dibenarkan oleh syarak.

Kesimpulan

Akupunktur adalah kaedah rawatan yang harus dalam Islam selagi mana ia bertepatan dengan hukum syarak iaitu tidak mengandungi unsur-unsur haram, tidak melibatkan amalan syirik dan dilakukan dengan cara yang menjaga kemaslahatan serta kesucian. Penerimaan akupunktur dalam kalangan Muslim membuktikan bahawa Islam bersifat fleksibel dan menggalakkan umatnya mencari kesembuhan melalui pelbagai cara yang dibenarkan, selaras dengan ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Wallahua’lam.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] National Health & Mobirdity Survey 2015 Traditional and Complementary Medicine (Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia, 2015), hlm. 67.

[2] Nurbani, Rina, Gladys Dwiani Tinovella Tubarad, Putri Anugrah Rizki, Katharina Setyawati, Gatot Sugiharto, Izzati Aulia, and Khalisa Siti Betari. "MENGENAL LEBIH DEKAT AKUPUNKTUR MEDIK DAN MANFAATNYA BAGI GERIATRI." In Prosiding Seminar Nasional Pengabdian Masyarakat LPPM UMJ, vol. 1, no. 1. 2022. Hlm. 2.

[3] Beliau merupakan perawat bertauliah di bawah Majlis Perubatan Traditional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia.

[4] Mahadizan Hamzah, Wacana Pakar: Akupuntur antara Sihir, Mitos dan Sains, Dewan Syura, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, 13 Ogos 2025.

[5] Direktorat Pembinaan Kursus dan Pelatihan, Teori Meridian Akupuntur (Jakarta: Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, 2014), hlm. 1.

[6] Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, “Latar belakang”, laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia, https://hq.moh.gov.my/tcm/ms/index.php/profil/latar-belakang?highlight=WyJha3VwdW5rdHVyIl0=

[7] Ibid.

[8] Ibid.

[9] Ibid.

[10] Muhammad Mustafa al-Zuhaili, al-Qawa’id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba’ah (Dimashq: Dar al-Fikr, 2006), jld. 1: hlm. 190.

[11] Abi Muhammad ‘Izz al-Din ‘Abd al-Aziz bin ‘Abd al-Salam, Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, ed. Taha Abd al-Ra’uf Sa’ad (Mesir: Maktabah al-Kulliyyat al-Azhariyyah, 1991), hlm. 10.

[12] Muhammad Ali al-Sabuni, safwah al-Tafasir. (Kaherah: Dar al-Sabuni, 1417H) Hlm. 442

يحل لهم ما حرّم عليهم من الأشياء الطيبة بشؤم ظلمهم ويُحرّم عليهم ما يستخبث من نحو الدم والميتة ولحم الخنزير

[13] Syarf al-Din al-Husain bin Abdullah, Syarh al-Tibbi ala al-Kasyif 'an Haqaiq al-Sunan. (Riyad: Maktabah Nuzar Mustafa al-Baz, 1417H) Jld. 9, Hlm. 2963

إن الله تعالى خلق لكل داء دواء، حراماً كان أو حلالا، فلا تداووا بالحرام

[14] Muhammad Mustafa al-Zuhaili, al-Qawa’id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba’ah, jld. 1: hlm. 63.

[15] al-Husain bin Mahmud al-Muzhiri, al-Mafatih fi Syarh al-Masabih. (Kuwait: Dar al-Nawadir, 1433H) Jld. 4 Hlm. 217

[16] Zainuddin Muhammad al-Munawi, Faid al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir. (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1356H) Jld. 6, Hlm. 106

(فهو ضامن) لمن طبه بالدية إن مات بسببه لتهوره بإقدامه على ما يقتل ومن سبق له تجربة وإتقان لعلم الطب بأخذه عن أهله فطب وبذل الجهد الصناعي فلا ضمان عليه