اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-946: HUKUM MENYEBARKAN HIV DAN PERSPEKTIF MAQASID SYARIAH

HUKUM_MENYEBARKAN_HIV_DAN_PERSPEKTIF_MAQASID_SYARIAH.jpg

Soalan:                  

Assalammualaikum. Sekiranya seseorang telah disahkan dijangkiti HIV dan mendedahkan kepada orang lain kepada risiko jangkitan melalui perbuatannya, apakah sudut pandang Syariah terhadap isu ini. Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Perbuatan sengaja menyebarkan penyakit berjangkit HIV layak dikenakan hukuman ta’zir yang sesuai dan boleh dikenakan hukuman dibawah Seksyen 12(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) Seksyen 24(a). Malahan, perbuatan tersebut dikategorikan sebagai الحرابة (al-Hirabah) iaitu menimbulkan kerosakan kepada masyarakat dimuka bumi dengan membahayakan nyawa dan merosakkan maruah. Antara tujuan syarak adalah untuk membebaskan manusia daripada belenggu hawa nafsu, memelihara maruah (hifz al-'ird) serta memelihara nyawa (hifz al-nafs). Oleh itu, segala bentuk perbuatan yang berpotensi menyebarkan jangkitan HIV adalah haram. Tambahan pula, perbuatan tersebut melemahkan kekuatan umat dalam membina peradaban manusia yang termasuk dalam kerangka maqasid imarah.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Penyebaran HIV (Human Immunodeficiency Virus) menurut Maqasid Syariah

Penyakit HIV /AIDS adalah penyakit berjangkit yang boleh disebarkan melalui darah, air mani, cecair faraj dan cara-cara lain. [1] Dilaporkan 90% daripada kes HIV baharu melibatkan golongan lelaki. Salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes ini adalah hubungan homoseksual, selain penggunaan aplikasi media sosial yang menawarkan perkhidmatan mencari pasangan sejenis.[2] Pengamal aktiviti homoseksual sesama lelaki ini disebabkan gelojak dorongan hawa nafsu. Oleh kerana itu, salah satu tujuan utama syariah diturunkan adalah untuk membebaskan manusia daripada belitan nafsu seperti yang disebut oleh Imam al-Syatibi:

المقصد الشرعي من وضع الشريعة إخراج المكلف عن داعية هواه

Maksudnya: (Salah satu) tujuan Syariah adalah untuk membebaskan manusia daripada dikuasai hawa nafsunya.[3]

Hukum hakam dan syariah Islam ditetapkan untuk “ta’abud” penghambaan sepenuhnya kepada Allah SWT bagi mengeluarkan manusia dari lingkaran nafsu dirinya. [4]

Walaupun HIV boleh menular melalui pelbagai cara, sama ada melalui hubungan homoseksual atau darah serta cara-cara lain, maka semua bentuk perbuatan (wasilah) yang membawa kepada kemudaratan dan risiko jangkitan HIV tetap dihukumkan sebagai haram. Hal ini selaras dengan kaedah fiqh:

ما يقطع بتوصله إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: Sesuatu yang diyakini akan membawa kepada yang haram, maka perkara itu juga dihukumkan sebagai haram.[5]

Pandangan Ulama Kontemporari dan Institusi Fiqh

Wahbah Zuhaili dalam Fiqh Islami wa Adillatuhu membahaskan hukum secara sengaja menyebarkan jangkitan HIV/AIDS kepada orang yang sihat dengan apa jua cara adalah perbuatan haram dan termasuk dalam kategori dosa besar (kaba’ir). [6] Hal ini selari dengan keputusan Mesyuarat Majlis Majma’ Fiqh Islam Antarabangsa yang diadakan dalam persidangan ke-9 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, pada 1–6 Zulqaedah 1415H, bersamaan 16 April 1995M yang meneliti kajian penyakit HIV/AIDS dan hukum-hakam menyebarkan secara sengaja jangkitan HIV/AIDS. Perbuatan ini juga layak dikenakan hukuman yang termaktub dalam akta undang -undang dunia. Hukuman yang setimpal bersesuaian dengan beratnya perbuatan tersebut terhadap kesan individu dan masyarakat berdasarkan pembahagian kategori tersebut : [7]

1. Jika tujuan pelaku adalah untuk menyebarkan penyakit ini dalam masyarakat, perbuatannya dianggap sejenis hirabah iaitu kerosakan masyarakat dimuka bumi dan layak dikenakan hukuman hirabah sebagaimana disebut dalam firman Allah SWT:

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَافٍ أَوْ يُنفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ۚ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا ۖ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ (33)

Maksudnya: “Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanya mereka dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka bertimbal balik atau dibuang negeri. Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia dan di akhirat mereka mendapat seksaan yang pedih.

(Surah Al-Maidah:33)

2. Jika tujuan pelaku adalah untuk menzalimi seseorang secara khusus dan jangkitan berlaku, dia dikenakan hukuman ta’zir yang sesuai. Jika perbuatan itu menyebabkan kematian mangsa, maka boleh dipertimbangkan untuk hukuman bunuh.

3. Jika tujuan pelaku adalah untuk menzalimi seseorang tetapi jangkitan tidak berlaku, dia dikenakan hukuman ta’zir yang sesuai.

Berdasarkan keputusan Majma‘ Fiqh, kesalahan mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan HIV menuntut hukuman duniawi. Oleh yang demikian, undang-undang di Malaysia memperuntukkan akta yang membolehkan hukuman dikenakan oleh Mahkamah Majistret berdasarkan bidang kuasa pendakwaan yang dikemukakan mengikut Seksyen 12(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) akta sama :

Seksyen baharu 24a 11. Akta ibu dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 24 seksyen yang berikut: “Bidang kuasa untuk membicarakan kesalahan 24a. Walau apa pun apa-apa undang-undang bertulis yang berlawanan, mahkamah Majistret Kelas Pertama hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini dan mengenakan hukuman bagi apa-apa kesalahan di bawah Akta ini.”.

PENUTUP

Segala perbuatan penularan HIV adalah haram kerana merosakkan maruah, nyawa dan menjejaskan institusi keluarga yang termasuk dalam kerangka Maqasid Syariah. Perbuatan tersebut juga layak dikenakan tindakan undang - undang seperti hukuman takzir yang bersesuaian dan boleh dikenakan hukuman oleh Mahkamah Majistret berdasarkan bidang kuasa pendakwaan yang dikemukakan mengikut Seksyen 12(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) Seksyen 24(a).

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] https://www.doctoroncall.com.my/health-centre/aids-hiv/jangkitan-hiv/penyebaran-hiv

[2]https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/hiv-kes-baharu-menurun-tapi-jangkitan-dalam-kalangan-belia-lelaki-membimbangkan

[3]  Al-Muwafaqat, 

[4]  Nuruddin, Mukhtar al-Khadimi, Ilmu Maqasid Syariah (Maktabah al-‘Abikan) Hlmn 143

[5] Tajuddin, Ibn Subki, Al-Asybar wa AL-Nazair. (Beirut, Dar al-Kutub Ilmiah. 1991)    Jilid 1, Hlmn 120

[6] Wahbah Zuhaili , Fiqh Islami wa Adillatuhu (Damsyik : Dar al-Fikr)   Jilid 7, Hlmn 5255

تعمد نقل العدوى بمرض نقص المناعة المكتسب (الأيدز) إلى السليم منه بأية

صورة من صور التعمد عمل محرم، ويعد من كبائر الذنوب والآثام، كما أنه يستوجب العقوبة الدنيوية، وتتفاوت هذه العقوبة بقدر جسامة الفعل وأثره على الأفراد وتأثيره على المجتمع

[7] https://iifa-aifi.org/ar/2000.html

بشأن مرض نقص المناعة المكتسب (الإيدز) والأحكام الفقهية المتعلقة به

ثانيًا: تعمد نقل العدوى:

تعمد نقل العدوى بمرض نقص المناعة المكتسب (الإيدز) إلى السليم منه بأية صورة من صور التعمد عمل محرم، ويعد من كبائر الذنوب والآثام، كما أنه يستوجب العقوبة الدنيوية وتتفاوت هذه العقوبة بقدر جسامة الفعل وأثره على الأفراد وتأثيره على المجتمع.

فإن كان قصد المتعمد إشاعة هذا المرض الخبيث في المجتمع، فعمله هذا يعد نوعًا من الحرابة والإفساد في الأرض، ويستوجب إحدى العقوبات المنصوص عليها في آية الحرابة. (إِنَّمَا جَزَاء الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُواْ أَوْ يُصَلَّبُواْ أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلافٍ أَوْ يُنفَوْاْ مِنَ الأَرْضِ ذَلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ)(المائدة: 33).

وإن كان قصده من تعمُّد نقل العدوى إعداء شخص بعينه، وتمت العدوى، ولم يمت المنقول إليه بعد، عوقب المتعمد بالعقوبة التعزيرية المناسبة وعند حدوث الوفاة ينظر في تطبيق عقوبة القتل عليه.

وأما إذا كان قصده من تعمد نقل العدوى إعداء شخص بعينه ولكن لم تنتقل إليه العدوى فإنه يعاقب عقوبة تعزيرية.