اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HUKUM SIRI KE-953: BOLEHKAH MEMBATALKAN SOLAT KERANA TERLUPA NIAT JAMAK DAN QASAR KETIKA TAKBIRATUL IHRAM

BOLEHKAH_MEMBATALKAN_SOLAT_KERANA_TERLUPA_NIAT_JAMAK_DAN_QASAR_KETIKA_TAKBIRATUL_IHRAM.jpg

Soalan

Assalamualaikum ustaz, jika saya sedang dalam musafir yang membolehkan solat jamak dan qasar, namun ketika takbir saya hanya niat solat biasa tanpa berniat jamak dan qasar. Adakah boleh untuk saya batalkan solat dan ulang semula solat dengan niat jamak dan qasar?

Ringkasan Jawapan

  1. Niat jamak taqdim wajib diadakan pada bila-bila masa ketika mendirikan solat yang pertama, manakala niat jamak takhir wajib diadakan pada waktu solat yang pertama.
  2. Niat qasar pula wajib diadakan ketika permulaan solat iaitu ketika takbiratul ihram. Jika seseorang itu membatalkan solat kerana terlupa niat qasar, dia wajib memulakan semula solat tersebut secara tamam tanpa qasar.
  3. Membatalkan solat setelah memulakannya tanpa sebab yang dibenarkan syarak adalah haram.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama, dalam hal ini perlu dibezakan antara jamak taqdim, jamak takhir dan qasar. Bagi solat jamak taqdim, seseorang itu tidak diwajibkan untuk berniat jamak taqdim ketika takbiratul ihram solat pertama, sebaliknya dia boleh untuk berniat jamak pada bila-bila masa ketika solat pertama walaupun ketika memberi salam. Imam al-Nawawi menjelaskan syarat solat jamak taqdim, beliau berkata:

الْأَمْرُ الثَّانِي: نِيَّةُ الْجَمْعِ. وَالْمَذْهَبُ أَنَّهَا تُشْتَرَطُ. وَيَكْفِي حُصُولُهَا عِنْدَ الْإِحْرَامِ بِالْأُولَى أَوْ فِي أَثْنَائِهَا أَوْ مَعَ التَّحَلُّلِ مِنْهَا، وَلَا يَكْفِي بَعْدَ التَّحَلُّلِ.

Maksudnya:Syarat yang kedua ialah berniat jamak. Menurut pandangan mazhab, berniat jamak adalah syarat. Memadai niat itu ada ketika takbiratul ihram solat pertama, atau pada pertengahan solat pertama, atau ketika tahallul(memberi salam) bagi solat pertama. Namun, tidak sah jamak jika hanya berniat selepas selesai solat pertama.”[1]

Oleh yang demikian, jika seseorang itu terlupa untuk berniat jamak taqdim semasa takbiratul ihram, maka dia hanya perlu niat jamak tersebut semasa solat pertama. Namun, jika dia terlupa niat jamak sehingga selesai salam solat yang pertama , maka dia tidak boleh untuk menjamakkan solat dan wajib melakukan solat kedua pada waktunya.

Seterusnya bagi jamak takhir pula, tidak disyaratkan untuk untuk seseorang itu berniat semasa mendirikan solat pertama. Namun, disyaratkan untuk berniat jamak takhir dalam waktu solat yang pertama sebagai ganti solat sehingga penghujung waktu solat pertama dengan kadar satu rakaat solat. Jika dia tidak berniat pada waktu yang pertama, maka dia dikira berdosa dan solat yang dilewatkan itu dikira sebagai solat qada.[2] Sebagai contoh, jika seseorang itu ingin solat jamak takhir zohor dan asar pada waktu asar, maka dia wajib untuk berniat jamak takhir pada waktu zohor sehingga tinggal waktu yang cukup untuk melakukan satu rakaan solat pada hujung waktu zohor.

Bagi rukhsah qasar solat pula hukumnya berbeza. Seseorang yang ingin menunaikan solat 4 rakaat secara qasar menjadi 2 rakaat wajib untuk berniat qasar semasa takbiratul ihram. Jika dia tidak berniat qasar semasa takbiratul ihram, maka dia wajib menunaikan solat tersebut secara tamam. Dalam hal ini Imam al-Nawawi menyebut:

الشَّرْطُ الثَّانِي: نِيَّةُ الْقَصْرِ. فَلَا بُدَّ مِنْهَا عِنْدَ ابْتِدَاءِ الصَّلَاةِ.

Maksudnya: “Syarat yang kedua (untuk solat qasar) ialah berniat qasar. Niat qasar itu mesti diadakan ketika permulaan solat.”[3]

Berkenaan membatalkan solat kerana tidak berniat qasar pula, Imam al-Nawawi menjelaskan isu ini dengan lebih terperinci, kata beliau:

أما إذا اقتدى بمتم ثم فسدت صلاة الإمام أو بان محدثا أو فسدت صلاة المأموم فستأنفها فيلزمه الإتمام بلا خلاف وقد ذكر المصنف دليله وكذا لو أحرم منفردا ولم ينو القصر ‌ثم ‌فسدت ‌صلاته ‌لزمه ‌الإتمام بلا خلاف

Maksudnya:Jika seseorang mengikut imam yang solat secara tamam, kemudian solat imam itu terbatal, atau didapati imam itu berhadas, atau solat makmum itu sendiri yang terbatal, kemudian dia memulakan semula solatnya, maka dia wajib menunaikan solatnya secara tamam tanpa khilaf, dan pengarang juga telah menyebutkan dalilnya. Begitu juga, jika seseorang berniat solat secara bersendirian dan tidak berniat untuk qasar, kemudian solatnya terbatal, dia wajib menunaikan solatnya secara tamam tanpa khilaf.”[4]

Berdasarkan teks di atas, jelas bahawa jika seseorang yang musafir itu telah memulakan solat secara tamam kemudian solatnya terbatal, maka dia wajib untuk memulakan solat tersebut secara tamam sahaja dan diharamkan baginya untuk qasar solat. Hal ini termasuk jika dia membatalkan solat tersebut dengan sengaja kerana terlupa untuk berniat qasar. Tambahan pula, perlu ditekankan bahawa membatalkan solat fardu adalah haram dan berdosa. Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyebutkan bahawa:

قَطْعُ العِبَادَةِ الوَاجِبَةِ بَعْد الشُّرُوعِ فِيهَا بِلَا شَرْعِي غَيْر جَائِز بِاتِّفَاقِ الفُقَهَاءِ؛ لِأَن قَطَعَهَا بِلَا مَسُوغٍ شَرْعِي عَبَثٌ يَتَنَافى مَعَ حُرْمَةِ العِبَادَةِ

Maksudnya: Membatalkan ibadah yang wajib setelah memulakannya tanpa sebab yang membolehkannya melakukan demikian adalah tidak harus dengan sepakat para fuqaha’. Hal ini kerana membatalkan ibadah tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak adalah satu perbuatan yang sia-sia dan bersalahan dengan kehormatan ibadah.”[5]

Kesimpulan

  1. Niat jamak taqdim wajib diadakan pada bila-bila masa dalam solat yang pertama, manakala niat jamak takhir wajib diadakan pada waktu solat yang pertama.
  2. Niat qasar pula wajib diadakan ketika permulaan solat iaitu ketika takbiratul ihram. Jika seseorang itu membatalkan solat kerana terlupa niat qasar, dia wajib memulakan semula solat tersebut secara tamam tanpa qasar.
  3. Membatalkan solat setelah memulakannya tanpa sebab yang dibenarkan syarak adalah haram.

WaAllahua’lam

 

Rujukan: 

[1] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, Raudhat al-Talibin wa Umdat al-Muftin (Beirut: al-Maktab al-Islami, 1991), jld. 1: hlm. 396.

[2] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa Umdat al-Muftin (T.tp: Dar al-Fikr, 2005), hlm. 46.

وَإِذَا أَخَّرَ الْأُولَى لَمْ يَجِبْ التَّرْتِيبُ وَالْمُوَالَاةُ، وَنِيَّةُ الْجَمْعِ عَلَى الصَّحِيحِ وَيَجِبُ كَوْنُ التَّأْخِيرِ بِنِيَّةِ الْجَمْعِ وَإِلَّا فَيَعْصِي. وَتَكُونُ قَضَاءً.

[3] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, Raudhat al-Talibin wa Umdat al-Muftin, jld. 1: hlm: 394.

[4] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab (Kaherah: Al-Muniriah, t.t), jld. 4: hlm. 357.

[5] Wizarah al-Awqaf wa al-Shu’un al-Islamiyyah, Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (Mesir: Dar al-Safwah, t.t), jld. 34: hlm. 51.