اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI 1: USUL AL-FIQH: DEFINISI, PERKEMBANGAN DAN KEPENTINGANNYA

MUKADIMAH

Alhamdulillah, kami merasakan amat perlu untuk diberikan penjelasan berkaitan dengan ilmu usul al-fiqh. Ini kerana, ia mempunyai hubungan yang sangat rapat dalam mengistinbat hukum, mentarjih, serta mengeluarkan sesuatu fatwa. Justeru, adalah amat baik sekiranya kami asingkan suatu perbincangan khusus berkaitan hal usul fiqh yang seringkali datang ke meja Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan secara berterusan. Insha Allah kami akan berusaha sekadar yang termampu untuk mengupas pelbagai isu yang berhubungkait dengan usul fiqh dalam rangka memberi penambahan ilmu dan penjelasan kepada masyarakat awam.

 

DEFINISI USUL FIQH

Telah menjadi adat kebiasaan para ulama ketika membicarakan berkenaan dengan mana-mana ilmu mereka akan menyebutkan tentang mabadi’ ‘asyrah (10 prinsip asas) Antara nazham yang paling masyhur berkenaan 10 prinsip ini adalah sebagaimana kata Syaikh Abu al-Irfan Muhammad bin Ali al-Sobban (1206 H.) rahimahullah yang menyebutkan kesepuluh prinsip asas tersebut adalah:

  • Al-Hadd iaitu definisi sesuatu perkara atau bidang.
  • Al-Maudhu’ iaitu tajuk sesuatu ilmu.
  • Al-Thamarah (الثمرةْ) : Iaitu kesan dari ilmu atau bidang tersebut.
  • Nisbah iaitu sandaran ataupun hubungannya.
  • Al-Fadhl iaitu kelebihan mempelajarinya.
  • Al-Waadhi’ yang merupakan pengasas ilmu atau bidang tersebut.
  • Al-Ism iaitu nama bagi ilmu atau bidang tersebut.
  • Al-Istimdad yang bererti sumber pengambilan ilmu tersebut.
  • Hukum Syaari’ iaitu hukum mempelajari ilmu tersebut.
  • Masa’il iaitu isu-isu yang dibincangkan di dalam ilmu atau bidang itu.[1]

Justeru, di sini kami akan fokuskan berkenaan definisi usul fiqh dari segi bahasa dan juga istilah.

 

USUL FIQH DARI SUDUT BAHASA

Perkataan usul fiqh merupakan murakkab idhafi yang terdiri daripada dua kalimah iaitu usul dan juga fiqh. Untuk kefahaman yang lebih jelas kami akan huraikan pengertian keduanya satu persatu.

 

TAKRIF USUL

Kalimah usul merupakan kata jamak (banyak) bagi kalimah al-ashlu. Al-Ashlu membawa maksud: Apa-apa yang terbina ke atasnya selain daripadanya. Al-Imam al-Isnawi ketika mendefinisikan kalimah al-ashlu ini mengatakan ia mempunyai beberapa makna seperti berikut:

  • Al-Dalil. Maka dikatakan: Asal bagi masalah ini adalah ijmak. Iaitu: Dalil bagi masalah ini adalah ijmak. Maka dengan makna ini Usul Fiqh adalah dalil-dalil fiqh.
  • Al-Rajih. Ini seperti ungkapan: Asal bagi sesuatu ucapan adalah secara hakikat. Maka maksudnya adalah: Yang rajih (tepat) bagi sesuatu ucapan adalah dengan meletakkanya mengikut makna hakikat bukannya makna majaz.
  • Al-Qa’edah (kaedah). Ini seperti ucapan: Keharusan memakan bangkai bagi orang yang dalam keadaan dharurat menyelisihi asal. Iaitu menyelisihi kaedah yang umum.
  • Al-Mustashab. Maka dikatakan: Yang asalnya adalah lepas dari sebarang tanggungan atau bebanan. Iaitu yang diistishabkan adalah sunyinya seseorang daripada sebarang tanggungan daripada ia disibukkan dengan sesuatu.[2]

                                   

TAKRIF FIQH

Fiqh dari segi bahasa membawa maksud: Mempunyai ilmu terhadap sesuatu dan memahaminya. Akan tetapi penggunaannya di dalam al-Quran menunjukkan bahawa fiqh itu merupakan kefahaman yang mendalam.

Al-Imam al-Baidhawi mendefinisikan fiqh dari sudut istilah dengan katanya: Ilmu berkenaan hukum-hakam syarak yang bersifat amali atau praktikal yang diambil dari dalil-dalil tafsili (bersifat juz’i). Lihat Minhaj al-Usul, al-Baidhawi. Hlm. 22.

 

USUL FIQH DARI SUDUT ISTILAH

Seterusnya dibincangkan pengertian Usul Fiqh dalam konteks ia sebagai satu nama khas atau disebut sebagai `Alamiyyah. Dinyatakan disini makna Usul Fiqh melalui kitab Mausu’ah Mustolahat Usul fiqh `Indal Muslimin oleh Dr. Rafiq al-‘Ajam:

  • Usul fiqh ialah jalan-jalan fiqh, cara beristidlal dengannya dan apa yang dituruti cara istidlal
  • Usul fiqh ialah suatu yang dibina atasnya untuk mengetahui segala hukum syara’.
  • Usul fiqh ialah dalil-dalil yang didirikan ilmu fiqh di atasnya, dan yang sampai dengannya kepada dalil dalil ijmal.
  • Usul fiqh ialah suatu yang didirikan ilmu fiqh di atasnya dan cabang daripadanya.
  • Usul fiqh ialah dalil-dalil, cara dan martabat-martabatnya serta cara beristidlal
  • Usul fiqh ialah dalil-dalil yang menunjukkan atasnya dari aspek jumlah (menyeluruh) bukan secara terperinci.
  • Usul fiqh ialah dalil-dalil fiqh dan pandangan dalil-dalilnya atau hukum syara’ serta kaifiyat keadaan yang didalilkan dengannya dari aspek umum bukan secara terperinci.

 

Setelah kita memahami bahawa di antara maksud bagi kalimah usul dari sudut bahasa adalah dalil-dalil dan juga kaedah-kaedah, maka kita dapati para ulama seperti Ibn Nujaim dan juga al-Mahlawi mentakrifkan usul fiqh sebagai:

Ilmu berkenaan kaedah-kaedah dan dalil-dalil yang bersifat ijmali (kulli) yang digunakan dengannya untuk sampai kepada proses istinbat hukum fiqh.

Lihat Fath al-Ghaffar, Ibn Nujaim. Hlm. 7.

 

PERKEMBANGAN ILMU USUL FIQH

Usul fiqh telahpun wujud semenjak wujudnya fiqh itu sendiri. Selama mana di sana terdapat fiqh maka sudah pastilah usul, dhawabith, serta kaedah-kaedahnya turut wujud bersama. Akan tetapi, penulisan fiqh dilihat lebih terkehadapan dan lebih dahulu berbanding penulisan usul fiqh. Namun ini tidaklah bermakna ia tidak wujud melainkan setelah ia ditulis. Bahkan ia wujud lebih awal dari itu selari dengan keujudan fiqh itu sendiri.

Realitinya, kaedah-kaedah ilmu ini berserta dengan manhaj-manhajnya sudah terdapat di dalam jiwa-jiwa para mujtahid. Mereka berjalan di atas petunjuknya sekalipun mereka tidak menyebutkannya secara jelas. Hal ini dapat dilihat daripada ucapan ataupun fatwa dari kalangan para sahabat Nabi S.A.W sendiri. Saidina Abdullah Ibn Mas’ud R.anhu sebagai contohnya, apabila beliau berkata: Sesungguhnya iddah bagi seorang wanita hamil yang kematian suaminya adalah dengan keluarnya kandungan. Beliau berdalilkan firman Allah S.W.T:

وَأُوْلَٰتُ ٱلۡأَحۡمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعۡنَ حَمۡلَهُنَّۚ وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُۥ مِنۡ أَمۡرِهِۦ يُسۡرٗا 

Maksudnya: Dan mereka yang mengandung itu tempoh (iddah) mereka adalah sehingga keluarnya kandungan dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan menjadikan segala urusannya mudah.

(Surah al-Thalaq, 65:4)

Beliau berhujah bahawa surah al-Thalaq yang terdapat padanya ayat ini ia turun selepas surah al-Baqarah yang padanya terdapat firman Allah:

وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجٗا يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرۡبَعَةَ أَشۡهُرٖ وَعَشۡرٗاۖ

Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber´iddah) selama empat bulan sepuluh hari.

(Surah al-Baqarah, 2:234)

Berdasarkan hujah ini, ia jelas menunjukkan kepada satu kaedah daripada kaedah-kaedah usul iaitu: Sesungguhnya nas yang terkemudian memansuhkan nas yang terdahulu. Sekalipun beliau tidak menyebutkannya secara jelas.

 

PENULISAN ILMU USUL AL-FIQH

Semasa zaman Rasulullah S.A.W, penulisan dan pembukuan usul fiqh tidaklah menjadi keutamaan dan juga keperluan. Ini kerana baginda masih hidup dan berada di sisi para sahabat. Justeru, segala permasalahan fatwa dan penjelasan hukum dapat segera dirujuk kepada Nabi S.A.W yang menunjukkan tidak ada sebarang hajat untuk para sahabat berijtihad ketika itu. Maka apabila tidak ada ijtihad sudah pastilah manhaj-manhaj untuk istinbat juga tiada dan tiada keperluan untuk menyusun kaedah-kaedahnya.

Setelah kewafatan Nabi S.A.W telah berlaku beberapa kejadian dan peristiwa yang dihadapi yang memerlukan proses ijtihad itu berlaku serta usaha untuk mengistinbat hukum daripada al-Kitab dan al-Sunnah itu dijalankan. Akan tetapi, para fuqaha dari kalangan sahabat tidak merasakan keperluan untuk membincangkan berkenaan kaedah-kaedah ijtihad serta jalan-jalan intuk beristidlal dan mengistinbat hukum. Ini kerana mereka sudah menguasai bahasa arab dan uslub-uslubnya, sudut pandang pendalilan, serta makna-maknanya. Juga disebabkan pengetahuan mereka yang meliputi rahsia-rahsia pensyariatan dan hikmahnya dan mereka mengetahui sebab-sebab penurunan ayat al-Quran dan juga Sunnah. Demikianlah berlalunya generasi para sahabat dan ilmu usul fiqh masih belum ditulis dan dibukukan.

Setelah berlalunya generasi para sahabat, negara-negara Islam makin berkembang pada zaman tabiin. Maka telah banyak berlakunya perkara-perkara baharu dan bercampurnya golongan arab dengan golongan ajam (bukan arab). Lalu banyaklah proses ijtihad dan juga mujtahid. Ketika inilah bermulanya pembukuan ilmu usul al-fiqh. Dikatakan bahawa individu terawal yang menulis berkenaan usul fiqh adalah Imam al-Qadhi Abu Yusuf akan tetapi tidak sampai satupun kepada kita berkenaan itu. Yang meluas di sisi para ulama adalah orang yang pertama menulis ilmu ini adalah Imam al-Syafie melalui kitabnya al-Risalah. Beliaulah orangnya yang menulis ilmu ini dalam bentuknya yang tersendiri. Di dalam kitab tersebut beliau menyebutkan berkenaan al-Quran serta fungsinya menjelaskan hukum-hakam. Fungsi al-sunnah dalam menjelaskan al-Quran, ijmak, al-qiyas, al-nasikh dan Mansukh, perintah dan juga larangan, berhujah dengan khabar ahad, dan seumpamanya dari perbahasan-perbahasan usul.

 

KEPENTINGAN ILMU USUL FIQH

Kepentingan ilmu usul fiqh dapat kita peroleh dengan cara mengetahui tujuan mempelajari ilmu ini terlebih dahulu. Tujuan mempelajari ilmu usul fiqh adalah untuk sampai kepada hukum-hakam syarak yang bersifat amali dengan cara meletakkan kaedah-kaedah serta manhaj-manhaj untuk sampai kepadanya. Kita tidak boleh untuk sampai kepada hukum-hakam jika tidak mempelajari usul terlebih dahulu. Ia sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama:

مَنْ حُرِمَ الأُصُول حُرِمَ الوُصُول

Maksudnya: Sesiapa yang terhalang daripada usul  (ilmu usul fiqh) dia juga terhalang dari sampai (kepada hukum-hakam).

Berikut disertakan beberapa kelebihan dan juga faedah mempelajari ilmu usul fiqh:

  • Menjaga syariah islamiah. Ini kerana ilmu usul fiqh memelihara dalil-dalil pensyariatan daripada disalahguna oleh orang ramai. Sebagaimana ia juga turut menjaga hujah-hujah dan juga sandaran bagi hukum-hakam.
  • Menyusun secara tepat usul-usul pendalilan. Dengan menjelaskan dalil-dalil yang sahih dari al-Quran dan membezakan dalil-dalil Sunnah yang sahih dengan yang dhaif.
  • Memudahkan proses ijtihad serta memberikan hukum yang bersesuaian bagi setiap kejadian semasa yang berlaku.
  • Menghalang daripada berlakunya pentafsiran nas-nas al-Quran dan juga al-Sunnah hanya semata-mata berpandukan akal dan juga hawa nafsu.
  • Membantu memberikan penjelasan tentang cara menghimpunkan di antara dalil-dalil yang dilihat terdapat percanggahan di antara satu sama lain pada zahirnya.
  • Dapat mengetahui sebab-sebab yang membawa kepada perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama seterusnya dapat menjauhkan kita daripada sifat taksub kepada satu pendapat dan tokoh tertentu.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama mempelajari dan menekuni ilmu usul fiqh ini supaya ia dapat membentuk kefahaman kita yang tepat dalam mendepani nas-nas ilahi dan juga hadis- hadis Nabi serta dapat membantu kita dalam meleraikan kekeliruan yang terhasil daripada isu-isu khilaf dalam fiqh. Semoga tulisan ini sedikit sebanyak dapat memberikan pencerahan asas kepada kita semua berkenaan ilmu usul fiqh. Ameen.

 

Rujukan:

[1] Rujuk Hasyiah Ali al-Sobban ‘ala Syarh al-Asymuni.

[2] Lihat Nihayah al-Suul Syarh Minhaj al-Ushul, al-Isnawi. Hlm. 8