اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-251: KALAULAH BELLA HIDUP DI ZAMAN NABI!

BAYAN LINNAS 251

Mukadimah

Seluruh negara ketika ini mengikuti kisah menyayat hati yang menimpa seorang anak syurga yang dikenali sebagai Bella. Adik Bella merupakan seorang Down Syndrome yang tular di media sosial dijumpai dalam keadaan kusut, lebam, luka bernanah dan kulit badan yang melecur[1]. Meskipun anak kelainan upaya ini hanya menjawab ringkas setiap persoalan yang diajukan kepadanya, namun daripada raut wajah muramnya dapat kita rasai jiwanya meronta-ronta meminta pertolongan.

Dalam perbahasan fiqh, insan istimewa di sisi Allah seperti adik Bella adalah anak syurga yang dikategorikan sebagai bukan mukallaf, iaitu seorang yang tiada pertanggungjawaban syariat ke atas dirinya.[2]

Nabi Muhammad SAW menganjurkan umatnya untuk menyantuni setiap lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan taraf kemampuan sama ada golongan yang sempurna akal fikiran mahupun orang kelainan upaya OKU. Golongan yang kuat dan sihat seharusnya menyokong dan menyayangi golongan yang lemah dan kurang sempurna. Hal ini dijelaskan di dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir RA dan Nabi SAW bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ، تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Maksudnya: Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama tubuh. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.

Riwayat Muslim[3]

Hadis di atas menekankan kepentingan untuk menjaga hak sesama manusia dan saling bantu membantu jika sebahagian mereka menghadapi kesukaran atau dizalimi. Selain itu juga setiap individu di dalam kelompok masyarakat bertanggungjawab dalam menerapkan sikap berbuat baik antara satu sama lain.[4]

[Lihat al-Tathriz Riyadh al-Solihin: 1/173]

 

Kelainan upaya semula jadi yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT ke atas sebahagian hamba-hamba-Nya sama sekali tidak menjadi pembeza aras, taraf dan darjat antara manusia. Seorang yang sihat dan kuat tidak menjadikan dirinya lebih mulia daripada individu yang lemah dan sakit. Yang paling mulia di sisi Allah adalah hambanya yang paling bertakwa. Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Surah al-Hujurat (13)

Golongan kelainan upaya ini berhak untuk mendapatkan hak seperti insan lain termasuk kehidupan yang aman, kehormatan dan juga pendidikan. Hak-hak Mereka tidak sepatutnya diabaikan dan dizalimi apatah lagi didera dan dijadikan hamba suruhan.[5]

Teladan daripada Rasulullah SAW dan Sahabat Baginda

Sejarah Islam telah membuktikan bahawa golongan kelainan upaya mendapat pembelaan sewajarnya dan diberi kedudukan yang sama seperti golongan biasa. Perkara ini dapat dilihat bagaimana Rasulullah SAW yang tinggi pekerti dan akhlaknya berinteraksi dengan golongan ini sehingga dirasakan diri mereka dalam kedudukan yang mulia.

Seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Julaibib RA ialah seorang kelainan upaya yang sangat disayangi Baginda Nabi SAW. Julaibib RA dikatakan mempunyai saiz fizikal yang kerdil, tidak mempunyai rupa paras yang elok, tiada harta dan keluarga namun seorang periang dan suka bergurau senda. Nabi SAW menganggap Julaibib RA seperti sebahagian dari diri Baginda sendiri sehingga Baginda SAW berusaha mencari jodoh yang terbaik buat beliau. Julaibib kemudiannya dikatakan telah menyertai perang bersama Rasulullah SAW dan telah syahid di saat sebahagian sahabat Rasulullah SAW tidak menyedarinya kecuali Rasulullah SAW dan baginda bersabda “Aku telah kehilangan Julaibib”. Jasad Julaibib ditemui bersama tujuh mayat Musyrikin yang dibunuhnya dan Rasulullah SAW bersabda lagi; “Dia sebahagian daripada diriku dan aku sebahagian daripada dirinya”.[6]

Terdapat kisah lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya perihal mengenai Abdullah bin Mas’ud RA yang dikenali sebagai seorang sahabat Nabi yang mempunyai saiz fizikal yang kecil dan lemah ketika Ibn Mas’ud memanjat sebatang pokok, Rasulullah SAW melihat sebahagian sahabat Baginda yang ketawa apabila melihat kaki Ibn Mas’ud yang kecil. Lantas Rasulullah SAW bersabda; “Apa yang membuatkan kamu ketawa ? Sesungguhnya kaki Ibn Mas’ud lebih berat di atas timbangan amal  berbanding Bukit Uhud.[7]

Sementara itu Khalifah Khalid bin Abd Malik yang merupakan sebaik-baik khalifah pada zaman Bani Umaiyyah meneruskan perjuangan melindungi golongan kelainan upaya ini dengan memberikan pelbagai bantuan dan sumbangan dalam bentuk material bagi menghalang golongan OKU ini daripada meminta-minta dan mengemis. Beliau juga menyediakan tempat khas dan pembimbing untuk setiap orang yang buta demi menjaga kebajikan mereka.[8]

[Lihat Tarikh Ibn Khaldun: 7/619 & Tarikh Tabrani: 8/58]

 

Teguran Allah kepada Nabi

Nabi SAW sendiri pernah ditegur oleh Allah SWT kerana tidak mengendahkan pertanyaan daripada seorang miskin yang buta bernama Abdullah bin Ummu Maktum, di mana pada ketika itu Nabi SAW sedang melayan pembesar-pembesar Quraisy. Firman Allah SWT:

عَبَسَ وَتَوَلَّىٰٓ (١) أَن جَآءَهُ ٱلْأَعْمَىٰ (٢) وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُۥ يَزَّكَّىٰٓ (٣) أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ ٱلذِّكْرَىٰٓ (٤)

Maksudnya: “Ia memasamkan muka dan berpaling, (1) Kerana ia didatangi orang buta. (2) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang didapatinya daripadamu)! - (3) Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. (4)

Surah Abasa (1-4)

Syeikh Wahbah Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan ayat ini merupakan teguran daripada Allah SWT kepada Nabi SAW kerana memalingkan diri daripada Abdullah bin Ummu Maktum. Ini untuk menjaga hati orang yang kurang berkemampuan dan sebagai penerangan bahawa orang beriman yang fakir lebih baik daripada orang beriman yang kaya.[9]

[Lihat Tafsir al-Munir: 30/62]

 

Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa perbuatan Abdullah bin Ummu Maktum adalah tidak beradab sekiranya dia sedar bahawa Nabi SAW sedang sibuk melayani orang lain, dan ketika itu Baginda SAW sedang berdakwah kepada pembesar-pembesar Quraisy, namun Allah SWT menegur Nabi Muhammad SAW agar tidak menyakiti hati ahli sufah (Abdullah bin Ummu Maktum). Teguran Allah ini juga memberi isyarat kepada Baginda SAW bahawa orang yang beriman tetapi fakir dan kurang kemampuan lebih baik daripada orang yang kaya namun cukup serba serbi keperluannya. Oleh yang demikian, memberi keutamaan orang yang beriman adalah satu keutamaan yang perlu didahulukan, lebih-lebih lagi mereka yang kurang berkemampuan seperti Abdullah bin Ummu Maktum yang cacat penglihatan.[10]

 

Dosa Besar Menyakiti Golongan Kelainan Upaya

Ayat al-Quran yang dinyatakan di atas membuktikan betapa Allah SWT sangat mengangkat darjat golongan yang lemah sama ada golongan fakir, miskin atau OKU. Oleh yang demikian, hukum menyakiti golongan ini adalah jelas dilarang dan dilaknat oleh Allah SWT, sepertimana sabda Nabi SAW:

مَلْعُونٌ مَنْ كَمَّهَ أَعْمَى عَنِ الطَّرِيقِ

Maksudnya: “Adalah dilaknat orang yang memesongkan orang buta dari jalan laluannya”

Riwayat Ahmad[11]

Al-San'ani mengatakan bahawa hadis ini sebagai pedoman buat umat Islam supaya membantu orang kelainan upaya dalam apa jua bentuk supaya mereka boleh menjalani kehidupan seperti orang lain.

[Lihat al-Tanwir Syarah al-Jami' al-Saghir: 9/569][12]

 

Penutup

Agama Islam  jelas membuktikan bahawa golongan lemah seperti OKU ini mempunyai tempat yang istimewa di sisi Rasulullah dan para sahabat sehinggakan mengabaikan hak mereka walaupun sedikit merupakan satu sikap dan perbuatan yang zalim dan mengundang kemurkaan Allah. Apatah lagi perbuatan yang tidak berperikemanusiaan dengan mencederakan fizikal golongan yang lemah dan kurang upaya, bahkan perbuatan ini pastinya memberi kesan yang amat negatif terhadap emosi dan mental mereka. Jelas perbuatan ini satu dosa besar yang ditanggung di atas bahu si pelaku yang tidak bertanggungjawab.

Justeru peristiwa yang berlaku kepada adik Bella sama ada pengabaian atau penganiayaan fizikal dan mental oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ternyata keluar daripada batas kemanusiaan yang mencerminkan keruntuhan akhlak serta  krisis kerohanian masyarakat pada hari ini. 

Nabi SAW menganjurkan kepada umat Islam untuk berdoa mengelakkan diri daripada membuat kezaliman dan dizalimi seperti dalam hadis riwayat Abu Daud:

اللَّهمَّ إنِّي أعوذُ بِك مِن أَن أضِلَّ أو أزِلَّ أو أظلِمَ أو أُظلَمَ أو أجهَلَ أو يُجهَلَ عليَّ

Maksudnya: Ya Allah, Aku berlindung daripada kesesatan, daripada melakukan dosa atau menzalimi orang lain,  atau daripada dizalimi, daripada melakukan perkara kejahilan atau daripada diperbodohkan oleh orang lain.

WallAhua’lam.

 

[1] Muhammad Firdaus Fahmi Junaidi, Keadilan Buat Adik Bella, Utusan Malaysia, 12 Julai 2021

https://www.utusan.com.my/nasional/2021/07/keadilan-buat-adik-bella/

[2] Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Wizarah al-Awqaf wa al-Syu’un al-Islamiy, Jld.29, Hlm.276

اعْتَبَرَ جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ أَنَّ الْعَتَهَ يَسْلُبُ التَّكْلِيفَ مِنْ صَاحِبِهِ، وَأَنَّهُ نَوْعٌ مِنَ الْجُنُونِ، وَيَنْطَبِقُ عَلَى الْمَعْتُوهِ مَا يَنْطَبِقُ عَلَى الْمَجْنُونِ مِنْ أَحْكَامٍ، سَوَاءٌ فِي أُمُورِ الْعِبَادَاتِ، أَوْ فِي أُمُورِ الْمَال وَالْمُعَامَلاَتِ الْمُتَّصِلَةِ بِهِ، أَوْ فِي الْعُقُودِ الأُْخْرَى كَعُقُودِ النِّكَاحِ وَالطَّلاَقِ وَغَيْرِ ذَلِكَ مِنَ التَّصَرُّفَاتِ الأُْخْرَى.

[3] Al-Naisaburi, Sahih Muslim, No.Hadis 2586, Jld.4, Hlm.1999

[4] Al-Najdi, al-Tahtriz Riyadh al-Solihin, Riyadh: Dar al-‘Asimah Li al-Nasyr wa al-Tauzi’, Jld.1, Hlm.173

في هذا الحديث: تعظيمُ حقوق المسلمين، والحض على تعاونهم وملاطفة بعضهم بعضًا.

[5] Dr. Khadr Sundak, Zuu al-Ihtiyajat al-Khasah fi Dhau’i al-Quran wa al-Sunnah, Jld.1, Hlm.88

في نهاية هذا المبحث يتبين لنا مكانة ذوي الاحتياجات الخاصة في القرآن الكريم فقد أوصى الله سبحانه وتعالى بهم وأكد على حقوقهم كحقهم في الحياة، والكرامة الانسانية والحرية، والتعلم والتعليم، والكسب والتصرف والتملك، والعمل، وحقهم المالي من مصارف الزكاة، والزواج والإنجاب، فما أعظم هذا القرآن الذي عُني بحقوق الإنسان، سواء ذوي الاحتياجات الخاصة أو غيرهم.

[6] Muhammad Al-Suyani, Sirah Nabawiyah Kama Ja’at fii Ahadis Sohihah, 2004, Cet. Maktabah Abikan

كان جليبيب ظريفًا يهوى المزاح والدعابة. لكنه لا يملك المال ولا الجاه ولا النسب لكن ذلك كله لا يهم ما دام النبي - صلى الله عليه وسلم - يعتبره جزءًا منه. ويتحدّث نيابة عنه.. ما دام يملك مساحة في قلب النبي - صلى الله عليه وسلم

-قال: شأنك بها، فزوّجها جليبيبًا) (١)، فزوّجها - صلى الله عليه وسلم - من ذلك الشاب الفقير

Diriwayatkan daripada Abu Barza, bahawa Nabi SAW bersabda:

هَلْ تَفْقِدُونَ مِنْ أَحَدٍ ‏"‏ ‏.‏ قَالُوا نَعَمْ فُلاَنًا وَفُلاَنًا وَفُلاَنًا ‏.‏ ثُمَّ قَالَ ‏"‏ هَلْ تَفْقِدُونَ مِنْ أَحَدٍ ‏"‏ ‏.‏ قَالُوا نَعَمْ فُلاَنًا وَفُلاَنًا وَفُلاَنًا ‏.‏ ثُمَّ قَالَ ‏"‏ هَلْ تَفْقِدُونَ مِنْ أَحَدٍ ‏"‏ ‏.‏ قَالُوا لاَ ‏.‏ قَالَ ‏"‏ لَكِنِّي أَفْقِدُ جُلَيْبِيبًا فَاطْلُبُوهُ ‏"‏ ‏.‏ فَطُلِبَ فِي الْقَتْلَى فَوَجَدُوهُ إِلَى جَنْبِ سَبْعَةٍ قَدْ قَتَلَهُمْ ثُمَّ قَتَلُوهُ فَأَتَى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَوَقَفَ عَلَيْهِ فَقَالَ ‏"‏ قَتَلَ سَبْعَةً ثُمَّ قَتَلُوهُ هَذَا مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ هَذَا مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ فَوَضَعَهُ عَلَى سَاعِدَيْهِ لَيْسَ لَهُ إِلاَّ سَاعِدَا النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ فَحُفِرَ لَهُ وَوُضِعَ فِي قَبْرِهِ ‏.‏ وَلَمْ يَذْكُرْ غَسْلاً

Riwayat Muslim

[7] Hadis Riwayat Ahmad

أَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ابْنَ مَسْعُودٍ فَصَعِدَ عَلَى شَجَرَةٍ أَمَرَهُ أَنْ يَأْتِيَهُ مِنْهَا بِشَيْءٍ فَنَظَرَ أَصْحَابُهُ إِلَى سَاقِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ حِينَ صَعِدَ الشَّجَرَةَ فَضَحِكُوا مِنْ حُمُوشَةِ سَاقَيْهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا تَضْحَكُونَ لَرِجْلُ عَبْدِ اللَّهِ أَثْقَلُ فِي الْمِيزَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ أُحُدٍ‏.‏

[8] Ibn Khaldun, Diwan al-Mubtada’ wa al-Khabar Fi al-Tarikh al-‘Arab wa al-Bar bar wa min ‘asirihim min zawiy al-Sya’n al-Akbar, Beirut: Dar al-Fikr, Jld.7, Hlm.619

كان الوليد بن عبد الملك من أفضل خلفاء بني أمية، أعطى المجذمين، وقال لهم لا تسألوا الناس، وأعطى كل مقعد خادما، وكل ضرير قائدا، وكان صاحب بناء واتخذ المصانع والضياع، وكان الناس في زمانه، يسأل بعضهم بعضا عن البناء والمصانع، وبنى المساجد

[9] Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, Beirut: 1991, Beirut: Darul Fikr.

الأية عتاب من الله تعالى لنبيه صلى الله عليه وسلم في إعراضه وتوليه عب عبد الله بن أم مكتوم، حتى لا تنكسر قلوب الفقراء، وليعلم أن المؤمن الفقير خير من الغني.

[10] Al-Qurtubi, Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran, Kaherah: Darul Kutub Misriyyah.

ما فعله ابن أم مكتوم كان من سوء الأدب لو كان عالما بأن النبي صلى الله عليه وسلم مشغول بغيره، وأنه يرجوا إسلامهم، ولكن الله تبارك وتعالى عاتبه حتى لا تنكسر قلوب أهل الصفة، أو ليعلم أن المؤمن الفقير خير من الغني، وكان النظر ألى المؤمن أولى وإن كان فقيرا أصلح وأولى من الأمر الآخر.

[11] As-Suyuthi, Kitab Jami’ al-Ahadis, Maktabah Syamilah Hadisah, Jld.19, Hlm.453

[12]Ismail al-San’ani, Ishak an-Nasyir, Al-Tanwir Syarah al-Jami’ al-Saghir, 2011, Riyadh: Maktabah Darul Islam, Jld.9, Hlm.569


طباعة   البريد الإلكتروني
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+