Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-302: SYARAH HADITH TASYABBUH

 

ih302.png

 

Soalan

Boleh terangkan berkenaan dengan hadith tasyabbuh dan syarahannya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

 

  • Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya:Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.[Riwayat Abu Daud (4031), Ahmad (5114) (5115) (5667), Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (19401), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (8327), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1154) dan al-Bazzar dalam Musnadnya (2966)]

 

Hukum Hadtih

Imam Ibn Hibban hadith ini isnadnya (sanadnya) jayyid sepertimana disebut dalam Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim (1/269) oleh Syeikh al-Islam dan dalam al-Fatawa (25/331) disebut ia adalah hadith jayyid. Imam al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan hadith ini adalah thabit dan sanadnya adalah hasan (baik) di dalam Fath al-Bari (10/282). Al-‘Iraqi berkata sanadnya sahih ketika mengtakhrijkan hadith ini di dalam al-Ihya’ sepertimana disebutkan di dalam al-Mughni (1/359) . Al-Zahabi berkata, isnadnya (sanadnya) salih sepertimana disebut di dalam Irwa’ al-Ghalil (5/109) bahawa isnadnya (sanadnya) hasan serta rijalnya kesemuanya thiqah kecuali Ibn Thauban di mana terdapat perselisihan padanya.

Justeru itu, kami cenderung pada pandangan yang menyatakan bahawa hadith ini adalah thabit dan sahih daripada Nabi SAW sebagaimana yang telah dijelaskan oleh para ulama’ walaupun terdapat perawi yang dinilai dhaif seperti Ibn Thauban.

 

Makna Hadith

Antara makna hadith ini sebagaimana disebutkan oleh para ulama’ adalah:

 

  • Imam al-Hafiz Ibn Kathir menyatakan bahawa: Hadith ini menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 1/87]
  • Sheikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Munawi dan ‘Alqami. Kata mereka: “Yang dimaksudkan dengan hadith ini ialah berpakaian dengan pakaian mereka, juga menyerupai cara mereka serta menyerupai perlakuan dan perbuatan mereka.” [Lihat: Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, 9/54]
  • Al-Imam al-San’ani menyebut: “Hadith ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah maka dia adalah daripada kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.” [Lihat: Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 4/175]
  • Ibn Abd al-Bar menyebut: Ditafsirkan siapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia daripada kalangan mereka atau dihukumkan bersama mereka atau siapa yang bertasyabbuh pada perbuatan mereka, keadaan mereka dan ini secara umumnya dimaksudkan dengan mengikut (meniru perbuatan mereka). [Lihat: Al-Tamhid, 6/80]
  • Al-Kalabazi berkata: Dia daripada kalangan mereka dengan maksud dikira bersama dengan mereka dan golongan mereka. Ini kerana, manusia dikenali berdasarkan dengan zahir tubuh badan mereka sedangkan yang batin tidak diketahui melainkan Allah SWT. [Lihat: Bahr al-Fawa’id yang dikenali dengan Ma’ani al-Akhyar, 1/169]
  • Al-Munawi berkata: Hukumnya sama seperti hukum mereka kerana setiap maksiat diwarisi daripada satu ummah dan umat-umat yang Allah binasakannya. Justeru, sesiapa yang menyerupai dan tasyabbuh dengan satu-satu umat, maka dia termasuk daripada umat tersebut. [Lihat: al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/1016]

 

Kami mengakhiri syarahan hadith ini berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma yang berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda dengan mafhumnya, sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum atau menyerupakan dirinya dengan orang kafir seperti pakaian dan lainnya atau orang fasiq atau orang jahat atau ahli tasawwuf atau orang soleh lagi baik, maka dia daripada kalangan mereka sama ada pada mendapat dosa atau kebaikan. Ini kerana, al-Thibi berkata yang ini umum pada bentuk kejadian, akhlak serta syi’ar.

Semoga Allah menyelamatkan kita daripada menyerupai ahli maksiat dan golongan yang derhaka kepada Allah, sebaliknya menjadikan kita di dalam golongan yang meniru atau menyerupai orang-orang yang berjaya. Dengan itu, mudah-mudahan kita akan berjaya seperti mereka. Benarlah kata pujangga yang terkenal, Imam al-Sahrawardi:

 

فَتَشَبّهوا إِن لَم تَكُونوا مِثلَهُم, إِنَّ التَّشَبّه بِالكِرامِ فَلاحُ

Maksudnya: Tirulah sekalipun kamu tidak setara dengan mereka. Ini kerana meniru orang-orang yang berjaya pasti mendapat kemenangan.

 

Akhirnya, kami mendoakan agar kita semua dikurniakan kejayaan dan kemenangan di dunia dan akhirat. Amin.

 

Wallahua’lam