Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-338: IMAM JA’FAR AL-SADIQ

imam ja'far.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh terangkan kepada kami siapakah Imam Ja’far al-Sadiq?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Beliau ialah Imam Abu Abdillah Ja’far al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal ‘Abidin ibn al-Husin ibn Ali ibn Abi Talib R.A. Ibunya pula ialah Ummu Farwah bin al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakar. Dan ibu sebelah ibunya ialah Asma’ bint Abd al-Rahman bint Abi Bakr. Nasab ibunya bersambung pada Abu Bakar al-Siddiq.

Beliau dilahirkan di Madinah pada tahun 80 Hijrah dan sempat bertemu dengan beberapa orang sahabat. Imam al-Zahabi berkata: Aku mengira bahawa beliau pernah bertemu dengan Anas bin Malik dan Sahl bin Sa’d R.Anhuma. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/255-270)

Beliau dikurniakan beberapa orang anak, antaranya: Ismail, Abdullah, Musa (yang bergelar al-Kazhim), Ishaq, Muhammad, Ali, dan Fatimah.

 

Guru-Guru Beliau

Beliau sempat berguru dengan ulama’-ulama’ tabi’in besar, antaranya bapanya sendiri Abi Ja’far al-Baqir, Atha` bin Abi Rabah, Muhammad bin Syihab al-Zuhri, Urwah bin al-Zubair, Muhammad bin al-Munkadir, dan Abdullah bin Abi Rafi’ serta Ikrimah maula Ibn Abbas, al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr, Nafi’ al-‘Umari, Muslim bin Abi Maryam dan lain-lain. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/255-270)

 

Murid-Murid Beliau

Antara murid-muridnya pula ialah: Yahya bin Sa’id al-Ansari, Aban bin Taghlib, Ayyub al-Sakhtiyani, Ibnu Juraij, dan Abu Amr bin al-Ala`, Malik bin Anas, Sufyan al-Thauri, Syu’bah bin al-Hajjaj, Sufyan bin Uyainah, Muhammad bin Tsabit al-Bunani, Abu Hanifah, Mu’awiyah bin ‘Ammar al-Duhani, Ibn Ishaq, al-Hasan bin Soleh, al-Hasan bin ‘Ayyash, Zuhair bin Muhammad, Hafs bin Ghiyath, Zaid bin Hasan al-Anmati, Sa’id bin Sufyan al-Aslami, Abdullah bin Maimun, Abd al-Aziz bin Imran al-Zuhri, Abd al-Aziz al-Darawardi, Abd al-Wahhab al-Thaqafi, Uthman bin Farqad, Muhammad bin Maimun al-Za’farani, Muslim al-Zanji, Yahya al-Qattan dan lain-lain. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/255-270)

 

Pujian Ulama’ Terhadapnya

Ramai ulama’ memuji beliau, antaranya:

  • Imam Abu Hanifah berkata: “Tidak ada orang yang lebih faqih daripada Ja’far bin Muhammad.” (Lihat Siyar A'lam al-Nubala', 11/319)
  • Abu Hatim al-Razi berkata: “(Beliau) thiqah, tidak perlu dipertanyakan orang sehebat beliau.” (Lihat al-Jarh wa at-Ta’dil, 2/487)
  • Ibnu Hibban berkata: “Beliau termasuk tokoh dari kalangan Ahli Bait, ahli ibadah dari kalangan atba’ al-tabi’in dan ulama Madinah.”
  • Ibnu Taimiyyah memuji beliau dengan katanya: “Sesungguhnya Ja’far bin Muhammad termasuk imam, berdasarkan kesepakatan Ahli Sunnah”. (Lihat Minhaj al-Sunnah, 2/245)

Beliau meninggal di kota Madinah pada tahun 148 Hijrah dalam usia 68 tahun.


Cetak   Emel
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+