IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-623: HUKUM WANITA MEMAKAI KURTA LELAKI

623

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz, maaf nak tanya. Apakah hukum seorang wanita memakai kurta lelaki? Adakah ini juga dikira sebagai menyerupai jantina lain yang dilarang?

 

Jawapan Ringkas

Jika melihat trend pemakaian kurta dalam kalangan masyarakat di Malaysia, terdapat kurta yang dikhususkan untuk lelaki sahaja dan terdapat juga reka bentuk kurta yang boleh dipakai oleh kedua-dua jantina. Bagi keadaan reka bentuk kurta yang unisex, tidak menjadi masalah untuk seorang wanita memakainya kerana tidak ada pengkhususan untuk dipakai oleh kaum lelaki sahaja. Manakala sekiranya seorang wanita ingin memakai kurta yang dikhaskan untuk lelaki adalah dilarang kerana tergolong dalam perbuatan tasyabbuh yang menyerupai keterampilan lelaki. Tambahan lagi kebanyakan reka bentuk kurta lelaki tidak sesuai untuk dipakai kaum wanita kerana boleh mendedahkan aurat yang sepatutnya ditutup serta membuka kepada ruang fitnah dalam kalangan masyarakat.

 

Huraian Jawapan

Kurta merupakan pakaian yang makin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di Malaysia ditambah lagi dengan fenomena industri fesyen yang tumbuh ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Umumnya kurta adalah pakaian khas untuk lelaki terutama di sesetengah negara. Namun begitu, terdapat juga syarikat pengeluar pakaian yang mengeluarkan kurta untuk perempuan ataupun kurta unisex yang boleh dipakai oleh golongan perempuan.

 

Perkara yang perlu ditekankan dalam persoalan ini adalah fesyen dan reka bentuk kurta yang dikhususkan bagi lelaki dan perempuan adalah berbeza. Pada umumnya, kurta lelaki mempunyai dua versi iaitu labuh sehingga paras lutut dan labuh sehingga paras punggung sahaja. Manakala, reka bentuk kurta bagi perempuan di Malaysia pula labuhnya melebihi paras punggung.

 

Persoalan berikut menimbulkan tanda tanya sama ada perbuatan tersebut merupakan tasyabbuh yang dilarang dalam agama. Hukum tasyabbuh atau menyerupai jantina berlawanan adalah HARAM bahkan salah satu dosa besar kerana terdapat larangan-larangan yang jelas daripada syarak bahawa perbuatan tersebut adalah dilaknat. Ibn ‘Abbas meriwayatkan bahawa:

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.

Riwayat al-Bukhari (5886)

 

Para ulama menerangkan tentang al-mukhannas dan al-mutarajjilat adalah perbuatan menyerupai apa yang menjadi kebiasaan jantina lawannya. Antara bentuk menyerupai jantina berlawanan adalah dengan meniru pemakaian bagi jantina yang berlawanan. (Rujuk al-Muyassar fi Syarh Mashabih al-Sunnah 990/3[1]; al-Mafatih fi Syar hal-Mashabih 41/5[2])

 

Selain itu terdapat juga riwayat lain daripada Abu Hurairah yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melarang untuk lelaki memakai pakaian yang dikhaskan untuk perempuan dan begitu juga sebaliknya. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki.

Riwayat Ahmad (8309)

 

Syeikh Zainal ‘Abidin al-Hadadi menerangkan bahawa hadis ini menunjukkan pengharaman untuk seseorang meniru pemakaian jantina berlawanan dengannya dengan pakaian yang umumnya telah dikhususkan buat sesuatu jantina tersebut. Namun jika sesuatu pakaian tersebut dibuat perubahan atau pertambahan tertentu padanya sehingga membolehkan jantina lain turut dapat memakainya maka ianya tidak menjadi masalah di sisi syarak. Sebagai contoh dalam konteks pemakaian di Malaysia, baju melayu bagi lelaki dan baju kurung bagi perempuan.

(Rujuk Faidh al-Qadir 269/5[3]; Tafsir al-Maturidi 550/7[4])

 

Di samping itu, perkara yang perlu difahami berkaitan larangan ini adalah jenis pakaian yang dikhususkan kepada sesuatu jantina adalah berbeza mengikut ‘uruf (kebiasaan/ada budaya) sesuatu tempat. Oleh kerana itu, boleh jadi sesuatu pakaian boleh dipakai oleh kedua-dua jantina atau istilahnya seperti unisex. Kemungkinan pemakaian bagi perempuan dapat dibezakan dengan pemakaian tudung dan pakaian yang menutup auratnya. Perkara ini dapat dilihat melalui kenyataan Imam Ibn Hajar al-Asqalani berikut:

فَأَمَّا هَيْئَةُ اللِّبَاسِ فَتَخْتَلِفُ بِاخْتِلَافِ عَادَةِ كُلِّ بَلَدٍ فَرُبَّ قَوْمٍ لَا يَفْتَرِقُ زِيُّ نِسَائِهِمْ مِنْ رِجَالِهِمْ فِي اللُّبْسِ لَكِنْ يَمْتَازُ النِّسَاءُ بِالِاحْتِجَابِ وَالِاسْتِتَارِ

Maksudnya: Adapun keadaan pakaian itu ia berbeza mengikut uruf kebiasaan setiap negeri. Boleh jadi dalam sesuatu kaum itu pakaian orang perempuan mereka tidak berbeza dengan pakaian orang lelaki mereka, tetapi orang perempuan dibezakan dengan pemakaian tudung dan juga pakaian yang bertutup (menutup aurat).

(Rujuk Fathul Bari 332/10)

 

Baca juga siri artikel lepas kami yang berkaitan:

  • Bayan Linnas Siri 5 : ISU TRANSGENDER, TASYABBUH ATAU PENYERUPAAN: HUKUMNYA (EDISI KEMASKINI)
  • IRSYAD AL-FATWA KE-140: HUKUM MEMAKAI PAKAIAN WANITA MENGIKUT FESYEN MODEN
  • IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 358 : HUKUM WANITA MEMAKAI SELUAR JEANS
  • AL-KAFI #1699 : HUKUM LELAKI MEMAKAI BAJU KELAWAR DI RUMAH

 

Kesimpulan

Jika melihat trend pemakaian kurta dalam kalangan masyarakat di Malaysia, terdapat kurta yang dikhususkan untuk lelaki sahaja dan terdapat juga reka bentuk kurta yang boleh dipakai oleh kedua-dua jantina. Bagi keadaan reka bentuk kurta yang unisex, tidak menjadi masalah untuk seorang wanita memakainya kerana tidak ada pengkhususan untuk dipakai oleh kaum lelaki sahaja. Manakala sekiranya seorang wanita ingin memakai kurta yang dikhaskan untuk lelaki adalah dilarang kerana tergolong dalam perbuatan tasyabbuh yang menyerupai keterampilan lelaki. Tambahan lagi kebanyakan reka bentuk kurta lelaki tidak sesuai untuk dipakai kaum wanita kerana boleh mendedahkan aurat yang sepatutnya ditutup serta membuka kepada ruang fitnah dalam kalangan masyarakat.

 

Wallahualam.

[1] وهي: التي تشبه بهم في زيهم.

[2] كلُّ رجلٍ شبَّه نفسَه بالنساء في اللباس وخضاب اليدَين والرَّجلَين

[3] فيحرم على الرجال التشبه بالنساء وعكسه في لباس اختص به المشبه

[4] ‌مكروه ‌للرجل - ‌واللَّه ‌أعلم - ‌أن ‌يلبس ‌فراعة ‌وحدها ‌لا ‌قميص ‌تحتها؛ لأن ذلك لباس النساء إلا أن يكون لها شق ذيل، فخرجت من لبس النساء، ولم تكره للرجال، والله أعلم.


Cetak   Emel