اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #101: MENGAPA BAB MENYAPU KHUF ADA DIBAHASKAN DALAM MATAN AQIDAH?

aqidah_khuf.JPG

Soalan:

Mengapa perbincangan tentang hukum menyapu khuf ada dibahaskan dalam matan Aqidah? Bukankah menyapu khuf termasuk dalam kategori fiqh?


Jawapan
:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

 

Pengertian dan Hukum Menyapu Khuf

Khuf ialah kasut kulit yang menutupi kaki hingga buku lali. Buku lali ialah tulang sendi yang timbul di antara kaki dengan betis.

Menyapu khuf dengan air adalah satu keringanan (رُخصَةٌ) yang diharuskan bagi lelaki dan perempuan dalam semua keadaan, sama ada ketika musim panas atau sejuk, musafir atau mukim, dan ketika sihat atau sakit. Perbuatan ini adalah ganti membasuh kaki ketika berwudhu’. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/241)

Antara dalil yang menunjukkan kepada keharusan sapuan ke atas khuf adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Jabir bin Abdillah R.A beliau berkata :

رَأَيْتُ النَّبِىَّ صَلى الله عليهِ وَسَلّم بَالَ ثُمَّ تَوَضَّأَ، وَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ

MaksudnyaAku pernah melihat bahawa apabila Rasulullah SAW selesai membuang air kecil, kemudian baginda berwuduk dan menyapu ke atas dua khuf baginda.

Sahih Al-Bukhari (1478)

Daripada Syaddad bin Aus R.A, Nabi SAW bersabda:

خَالِفُوا الْيَهُودَ فَإِنَّهُمْ لاَ يُصَلُّونَ فِي نِعَالِهِمْ ، وَلاَ خِفَافِهِمْ

Maksudnya: “Berbezalah dengan orang Yahudi. Sesungguhnya mereka tidak bersolat sambil memakai kasut atau khuf.”

Sunan Abi Dawud (652)

Mengapa bab menyapu khuf dibahaskan dalam matan aqidah?

Sememangnya bab menyapu khuf diletakkan oleh para ulama sebagai salah satu perbahasan dalam bidang aqidah, antaranya oleh Imam Abu Hanifah di dalam al-Fiqh al-Akbar, Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dalam al-Ibanah fi Usul al-Diyanah, Imam Abu Jaafar al-Tohawi dalam al-Aqidah al-Tohawiyyah, Ibnu Battoh dalam al-Ibanah al-Sughra dan al-Barbahari dalam Syarh al-Sunnah.

Kata Imam al-Tohawi al-Hanafi dalam al-Aqidah al-Tohawiyyah:

وَنَرَى الْمَسْحَ عَلَى الْخُفَّيْنِ فِي السَّفَرِ وَالْحَضَرِ كَمَا جَاءَ فِي الْأَثَرِ

Maksudnya: Kami beriman dengan keharusan menyapu khuf ketika dalam permusafiran atau hadir (mukim atau mastautin) sebagaimana yang tsabit melalui athar.

Imam al-Nawawi menyebut: Para ahli ijmak (yakni mereka yang diambil kira pandangan dalam menetapkan ijmak) telah bersepakat akan keharusan menyapu khuf ketika safar atau mukim, sama ada untuk suatu keperluan atau selainnya. Adapun yang mengingkarinya ialah golongan Syiah dan Khawarij, dan pandangan mereka tidak diambil kira. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 3/160)

Dinukilkan daripada Imam Ahmad bin Hanbal bahawa beliau pernah berkata: Hatiku tidak mempunyai sedikitpun rasa syak akan keharusan menyapu khuf, kerana terdapat 40 buah hadith yang tsabit bahawa Nabi Muhammad SAW ada melakukannya. Bahkan Imam Ibnu Qudamah menukilkan juga pandangan Imam Ahmad yang mengutamakan menyapu khuf berbanding membasuh kaki, kerana hal tersebut menyelisihi ahli bida’ah. (Rujuk Al-Mughni 1/206)

Menurut Imam Badruddin al-‘Aini pula, umat Islam seluruhnya tidak berselisih pandangan dalam menetapkan bahawa Rasulullah SAW ada menyapu khuf, dan hanya golongan ahli bida’ah dan golongan sesat sahaja yang tidak menerima hukum ini, antaranya ialah golongan Khawarij dan Syiah Rafidhah. Kata Imam al-Hasan al-Basri, beliau telah bertemu dengan 70 sahabat yang terlibat dengan perang Badar, dan kesemuanya mengakui tsabitnya amalan menyapu khuf.

Kerana inilah, Imam Abu Hanifah menetapkan kepercayaan menyapu khuf sebagai syarat untuk diiktiraf sebagai pengikut Ahlussunnah wal Jamaah. Imam al-Karkhi pula berkata: Aku risau mereka yang tidak beri’tiqad dengan keharusan menyapu khuf telah menjadi kafir. (Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari 3/97)

 

Kesimpulan:

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa bab menyapu khuf dimasukkan dalam perbincangan aqidah kerana ia tsabit melalui hadith-hadith yang bersifat mutawatir yang tidak boleh diingkari oleh seorang Muslim. Selain itu, hukum keharusan menyapu khuf diingkari oleh golongan ahli bidaah seperti Khawarij atau Syiah.

Adapun bagi Muslim yang tidak pernah menyapu khuf, maka hal tersebut tidak menjadi masalah dan tidaklah menjejaskan aqidah seseorang, selagi mana dia tetap berkeyakinan bahawa amalan khuf adalah tsabit melalui hadith-hadith mutawatir yang membawa kepada hukum qath’ie yang tidak boleh disanggah.

Wallahu a’lam.