اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #104: HUKUM MENERIMA DAN MAKAN MAKANAN SEMPENA PERAYAAN KEAGAMAAN BUKAN ISLAM

 ayam

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti, maaf saya ingin bertanya, saya duduk di kawasan taman perumahan. Jiran saya disebelah kanan adalah berbangsa cina dan beragama budha manakala disebelah kiri berbangsa India beragama kristian. Setiap kali perayaan keagamaan mereka, jiran saya akan memberikan hadiah berupa makanan seperti buah-buahan, biskut, gula-gula, coklat, roti, KFC, McDonalds dan sebagainya. Atas dasar perpaduan, saya menerima hadiah yang diberikan dan kami sekeluarga akan makan bersama. Soalan saya, bolehkah saya makan makanan yang diberikan? Adakah dengan menerima dan makan makanan yang diberikan merupakan tanda saya bersetuju dengan perayaan keagamaan kerana turut sama merayakan? Mohon pandangan Dato’ Seri Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Setiap Muslim akan dinilai oleh Allah SWT melalui amalan dan perbuatan yang dilakukan. Bahkan sebelum amalan dan perbuatan yang hendak dilakukan, perkara utama yang akan dilihat adalah niat Muslim itu sendiri. Walaupun ia adalah amalan baik mahupun amalan buruk, sudah pasti akan diiringi dengan niat. Sepertimana yang pernah disampaikan oleh Nabi SAW di dalam sebuah hadis.

Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah SWT dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.

(Hadis riwayat Muslim, No.1907)

Merujuk kepada isu yang dinyatakan, terdapat dua soalan yang ditanyakan kepada kami. Pertama, bolehkah makan makanan yang diberikan oleh orang bukan Islam? Kedua, adakah dengan menerima dan makan makanan yang diberikan merupakan tanda bersetuju d-engan perayaan keagamaan mereka kerana turut sama merayakan?

Bagi soalan pertama, telah dijawab di dalam beberapa siri artikel menerusi laman web dan media sosial kami. Berikut merupakan senarai artikel berkenaan yang telah dijawab sebagai rujukan;

  • AL-KAFI #564: Hukum Memakan Makanan Yang Dimasak Oleh Non-Muslim (Bukan Ahli Kitab)
  • AL-KAFI #285 : Hadiah Makanan Daripada Rakan Bukan Islam

Justeru, menerusi kajian kali ini, kami akan membincangkan soalan yang kedua iaitu “Adakah dengan menerima dan makan makanan yang diberikan merupakan tanda bersetuju dengan merayakan perayaan keagamaan orang bukan Islam?”

Bagi menjawab persoalan ini, kami nukilkan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Baginda Nabi SAW pernah bersabda;

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.”

(Hadis riwayat Abu Daud, No.4031)

Kata Imam al-Hafiz Ibn Kathir, hadis ini menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita.

(Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1/87)

Maka jelas daripada hadis tersebut, merayakan perayaan keagamaan orang bukan Islam adalah satu kesalahan bagi umat Islam. Secara tidak langsung, Muslim yang merayakan perayaan keagamaan orang bukan Islam itu telah mengiktiraf syiar agama mereka. Sedangkan jelas Allah SWT menyatakan:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.”

(Surah Ali ‘Imran, ayat 85)

Namun begitu, adakah dengan menerima dan makan makanan yang diberikan sempena perayaan keagamaan bukan Islam itu merupakan perbuatan tasyabuh?

Menjawab persoalan ini, kami nukilkan satu kisah yang persis seperti situasi ini. Pada zaman dahulu sebelum kedatangan agama Islam, terdapat dua perayaan yang terkenal dirayakan oleh orang Majusi. Perayaan tersebut adalah Nowruz / Nairuz / Niruz dan Mihrajan. Selepas kedatangan Baginda Nabi SAW yang membawa ajaran agama Islam, umat Islam diperintah untuk meninggalkan perayaan tersebut. Lalu diganti dengan dua perayaan iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha.

Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A berkata;

كَانَ لأَهْلِ الْجَاهِلِيَّةِ يَوْمَانِ فِي كُلِّ سَنَةٍ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَلَمَّا قَدِمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمَدِينَةَ قَالَ "‏ كَانَ لَكُمْ يَوْمَانِ تَلْعَبُونَ فِيهِمَا وَقَدْ أَبْدَلَكُمُ اللَّهُ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْفِطْرِ وَيَوْمَ الأَضْحَى ‏

Maksudnya: “Dahulu orang Arab jahiliyah terdapat dua hari pada setiap tahun akan disambut. Ketika Nabi SAW tiba ke kota Madinah, baginda berkata; “ dahulu kamu ada dua hari sebagai hari perayaan, tetapi Allah SWT telah menggantikan bagi umat Islam dengan dua hari yang lebih baik daripada perayaan itu, iaitu Aidul Fitri dan Aidul Adha”.

(Hadis riwayat an-Nasai’, No. 1556)

Suasana perayaan tersebut disambut dengan penuh gilang-gemilang oleh orang-orang Majusi. Begitu juga makanan dan minuman yang banyak disediakan untuk menyambut perayaan tersebut.

Namun begitu, pada suatu hari datang seorang wanita bertemu Saidatina Aisyah R.Anha bertanyakan sesuatu:

إِنَّ لَنَا أَطيارًا مِنَ الْمَجُوسِ، وَإِنَّهُ يَكُونُ لَهُمُ الْعِيدُ فَيُهْدُونَ لَنَا؟ فَقَالَتْ: أَمَّا مَا ذُبِحَ لِذَلِكَ الْيَوْمِ فَلاَ تَأْكُلُوا، وَلَكِنْ كُلُوا مِنْ أَشْجَارِهِمْ

Maksudnya: “kami mempunyai jiran daripada orang Majusi, mereka merayakan perayaan keagaamaanya maka dihadiahkan ia kepada kami ? Saidatina Aisyah R.Anha menjawab, “Adapun apa yang disembelih pada hari itu, maka janganlah di makan, tetapi makanlah yang berasal daripada pokok-pokok mereka (buah-buahan).”

(Kitab Musannaf Ibn Abi Shaybah, No. 24737)

Begitu juga seperti Athar daripada Abu Barzah:

ابي برزة أنه كان له سكان مجوس ، فكانوا يهدون له فى النيروز والمهرجان ، فكان يقول لأهله: ما كان من فاكهة فكلوه ، وما كان من غير ذلك فرده

Maksudnya: “Abu Barzah tinggal di kawasan orang-orang Majusi, pada setiap kali perayaan Nowruz dan Mahrajan, jirannya akan menghadiahkan berupa makanan, lalu beliau berkata kepada keluarganya: Jika sekiranya ia adalah buah-buahan maka makanlah, jika sekiranya daripada selain itu maka berikan semula”.

(Kitab Musannaf Ibn Abi Shaybah, No. 24738)

Maka kesimpulan daripada isu ini, jelas daripada athar tersebut, makan makanan yang diberikan sempena perayaan keagamaan bukan Islam adalah harus dengan syarat, selagi mana makanan tersebut bukanlah daripada haiwan yang disembelih oleh orang bukan Islam. Disamping niat menerima dan makan makanan yang diberikan tersebut ia bukanlah untuk membenarkan syiar agama mereka bahkan tidaklah bertujuan untuk mengagungkan perayaan keagamaan tersebut.

Hadiah makanan tersebut boleh diambil dengan tujuan dakwah untuk melembutkan hati mereka kepada Islam. Bahkan, Allah SWT telah memerintahkan berbuat baik dan bersikap adil kepada orang kafir yang tidak memerangi kaum muslimin.

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah SWT tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”.

(Surah al-Mumtahanah: 8)

WallahuA’lam.