اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1733: ADAKAH NILAI EMAS PERLU DIGABUNGKAN DENGAN NILAI WANG KERTAS SEHINGGA MENCUKUPI NISAB YANG DIWAJIBKAN ZAKAT

gold

Soalan

Assalamualaikum SS Tuan Mufti. Saya ada satu persoalan berkenaan zakat.

Adakah dikenakan zakat seseorang yg mempunyai emas (tapi tidak cukup nisab) namun apabila ditambah dengan duit simpanan cash di bank, cukup nisab? Kekeliruan saya timbul kerana saya merasakan emas dan duit kertas berada di dalam dua kategori yang berbeza. Mohon penjelasan.

Jawapan Ringkas

Emas dan duit kertas berada di dalam kategori yang sama iaitu dikategorikan sebagai medium pertukaran yang mempunyai kuasa membeli. Justeru itu, kedua-dua item (nilai emas dan duit kertas) perlu digabungkan dan sekiranya jumlahnya melebihi kadar nisab, maka wajib dikeluarkan zakat secara sekali sahaja, tidak perlu dikeluarkan secara berasingan. 

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardukan oleh Allah swt kepada umat Islam. Para Fuqaha’ menjelaskan bahawa zakat merupakan sedekah yang wajib. Ia berdasarkan firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Surah al-Taubah (103)

Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat: Tafsir al-Wasit li Zuhaili: 1/913)

Syarat Wajib Zakat

Kategori harta yang dinyatakan pada soalan di atas tergolong di bawah kategori zakat emas dan zakat wang simpanan. Oleh itu, sekiranya kedua-dua kategori harta ini memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, maka perlulah dikeluarkan zakat.

Secara umumnya, apabila suatu harta memenuhi dua perkara; iaitu haul dan nisab, maka seseorang itu wajib mengeluarkan zakat.

Kami nukilkan di sini, syarat yang mewajibkan seseorang itu untuk mengeluarkan zakat, iaitu:

  • Islam; tidak wajib zakat ke atas orang yang kafir.
  • Cukup nisab yang telah ditetapkan, iaitu sejumlah harta yang mencapai nilai minima yang mewajibkan pembayaran zakat.
  • Cukup haul (setahun Qamariah), iaitu genap setahun harta tersebut berada dalam simpanannya.

(Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 2/8)

Oleh itu, seseorang yang telah memenuhi tiga syarat yang telah ditetapkan iaitu Islam, cukup nisab dan cukup haul adalah wajib ke atas dia untuk mengeluarkan zakat.

Seterusnya, berkenaan nisab emas jumlahnya menyamai 85 gram. Zakat dikenakan sebanyak 2.5% ke atas jumlah baki terakhir dalam tempoh setahun simpanan apabila cukup nisab dan haulnya sama ada menyamai atau melebihi nisab.

Ini berdasarkan hadith daripada Ali bin Abu Talib RA, Rasulullah SAW bersabda Rasulullah SAW juga bersabda:

إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ، وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ، فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ، وَلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ يَعْنِي فِي الذَّهَبِ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا فَإِذَا كَانَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا، وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ، فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ، فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ

Maksudnya“Apabila kamu memiliki 200 dirham, dan telah cukup setahun zakatnya sebanyak 5 dirham. Kamu tidak wajib berzakat emas sehinggalah memiliki 20 dinar. Apabila kamu memiliki 20 dinar, dan telah cukup setahun, maka zakatnya 1/2 dinar. Jika kamu memilikinya lebih daripada itu, maka ikutilah cara pengiraan tersebut.”

Manakala berkaitan nisab wang simpanan, kami berpandangan ia sama seperti nisab emas melihat kepada fungsi dan kedudukannya yang sama sebagai medium pertukaran yang mempunyai kuasa membeli. Justeru, apa-apa sahaja barang atau benda yang digunakan dan diterima sebagai wang dan harga, kesemuanya berada dalam satu kategori yang sama. Rujuk artikel kami, https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2669-al-kafi-846-zakat-wang-simpanan-kwsp

Sehubungan daripada itu, melihat kepada kedudukan wang kertas termasuk wang simpanan di bank sama seperti kedudukan emas dan perak, maka kedua-dua bentuk harta tersebut perlu digabungkan menjadi satu. Sekiranya jumlah kedua-duanya mencapai had nisab 85 gram (contohnya bersamaan RM15,762) dan ke atas, maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% selepas cukup haul.

Contoh situasi, cara Ali menyimpan hartanya ada dalam dua bentuk:

1) Menyimpan emas jongkong berjumlah 70 gram (RM12,980)

2) Mempunyai wang simpanan (cash) di bank sebanyak RM10,000

Jumlah harta = RM22,980 (melebihi kadar nisab)

Berdasarkan situasi Ali di atas, sekiranya melihat kepada emas yang dimiliki semata-mata, dia tidak wajib mengeluarkan zakat kerana tidak cukup nisab. Hakikatnya, dia perlu menambahkan nilai emas tersebut dengan duit simpanan yang dimiliki di bank. Sekiranya jumlah hartanya melebihi kadar nisab, maka wajib dikeluarkan zakat. Inilah yang paling tepat dalam hal ini.

Pandangan ini juga dipegang oleh Majma’ Fiqh al-Islami dalam satu resolusi muktamar yang berlangsung di Jeddah berhubung isu zakat terhadap harta yang digabungkan di antara wang kertas dan emas atau perak.

(Rujuk: Majallah Majma’ Fiqh al-Islami, 3/952)

Walau bagaimanapun, sekiranya emas yang dimiliki itu bersifat emas perhiasan bukan emas simpanan semata-mata, maka hukumnya perlu melihat kepada uruf setempat. Sekiranya melebihi daripada kadar uruf, maka dikenakan zakat. Manakala, jika berkurangan tidak perlu dicampurkan dengan wang kertas dan tidak dikenakan zakat.

Wallahua’lam.

Rujukan lanjut:

(1) Hukum Zakat Emas Perhiasan: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1980-irsyad-fatwa-ke-38-adakah-dikenakan-zakat-perhiasan-wanita

(2) Sejarah dan kedudukan Wang kertas: https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/2773-bayan-linnas-153-hukum-penggunaan-mata-wang-bitcoin