اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE- 101: HUKUM MEMILIH MASJID UNTUK DILAKSANAKAN SOLAT TARAWIH

 

Soalan:

Assalamualaikum Tuan Mufti. Apakah hukumnya saya memilih-milih masjid untuk ditunaikan solat tarawih supaya dapat mencari masjid yang bacaan imamnya sedap didengar, suasana masjid yang tenang dan selesa, agar dapat membantu fokus dalam ibadah qiyam Ramadhan ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dam salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat tarawih merupakan suatu solat yang dituntut bagi umat Islam untuk melaksanakannya. Ganjaran melakukannya adalah sangat besar, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A. beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.

Riwayat Al-Bukhari (37)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa perbuatan qiyam Ramadhan yang meliputi solat tarawih, pembacaan al-Quran, zikir dan doa, serta selainnya daripada ibadah yang dilakukan pada malam hari bulan Ramadan, sekiranya ia dilakukan dengan penuh keimanan akan pensyariatannya serta mengharapkan ganjaran pahala dari Allah S.W.T, nescaya pelakunya akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu.

Imam Al-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan berkenaan hadis ini di dalam kitabnya Syarah Al-Nawawi ‘Ala Muslim (6/377) mengatakan: Qiyam Ramadhan adalah solat tarawih.

 

Memilih Masjid Untuk Dilaksanakan Solat

Secara asasnya, masjid keseluruhannya merupakan rumah-rumah Allah. Justeru dibolehkan untuk seseorang itu menunaikan solat di mana-mana masjid yang dia mahukan sama ada masjid tersebut berdekatan dengan rumahnya ataupun jauh.

Di dalam sebuah hadis daripada Abu Musa al-Asy’ari R.A, diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ أَعْظَمَ النَّاسِ أَجْرًا فِي الصَّلاَةِ أَبْعَدُهُمْ إِلَيْهَا مَمْشًى

Maksudnya: Sesungguhnya manusia yang paling besar ganjarannya di dalam solat adalah mereka yang paling jauh menuju ke arahnya.

Riwayat Muslim (662)

Imam Ibn ‘Allan al-Bakri al-Syafi’e Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Semakin jauh tempat solat itu maka semakin besarlah juga pahalanya. Rujuk Dalil al-Falihin Li Thuruq Riyadh al-Salihin, Ibn ‘Allan (6/543).

Jelas daripada hadis di atas, menunjukkan bahawa seseorang yang menuju ke masjid lain yang lebih jauh dari tempatnya dengan tujuan untuk mendapat pahala yang besar adalah dibolehkan.

Justeru, begitulah juga seseorang yang pergi ke mana-mana masjid dengan tujuan untuk menambahkan kekhusyukan dalam beribadah disebabkan suara imamnya yang merdu, keadaan masjid yang kondusif lagi selesa, ia juga adalah dibolehkan.

Ini kerana, seseorang yang membaca al-Quran itu dituntut untuk membacanya dengan suara yang lunak lagi baik. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah S.A.W:

 لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ

Maksudnya: Bukan dari kalangan kami mereka yang tidak memperelokkan suaranya dalam pembacaan al-Quran.

Riwayat al-Bukhari (7527)

Begitu juga sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Mas’ud R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

اقْرَأْ عَلَىَّ الْقُرْآنَ

Maksudnya: Bacakan al-Quran kepadaku.

Riwayat al-Bukhari (5049)

Ibn ‘Allan al-Syafi’e Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: ‘’Ini adalah dalil dalam meminta seseorang yang bersuara sedap untuk membaca al-Quran dan dalil untuk seseorang itu mendengar kepada bacaan (al-Quran) yang baik. Rujuk Dalil al-Falihin, Ibn ‘Allan (6/489).

 

Kesimpulan

Kami berpendapat, bahawa perbuatan memilih masjid tertentu untuk dilaksanakan padanya solat tarawih, dengan tujuan untuk menambah kekhusyukan melalui bacaan imam yang merdu dan suasana masjid yang selesa, adalah dibolehkan.

Bagi mereka yang ingin melakukan perbuatan sebegini, hendaklah bersegera keluar dari rumah bagi menuju masjid yang dipilih supaya memperoleh pahala besar yang lain seperti solat di awal waktu untuk fardhu isya’ juga mendapat ganjaran solat di saf yang pertama.

Perlu juga untuk kami jelaskan, bahawa secara asasnya adalah lebih utama untuk kita menunaikan solat di masjid kawasan tempat kediaman kita. Melainkan jika terdapatnya beberapa faktor dan keutamaan yang lain. Ini sepertimana kaedah yang menyebut:

الفَضِيلَة الْمُتَعَلِّقة بِذات العِبَادة أَوْلَى من الفَضيلَةِ الْمُتَعَلِّقَةِ بِمَكَانِهَا

Maksudnya: Kelebihan yang berkaitan dengan zat sesuatu ibadah adalah lebih utama berbanding kelebihan yang berkaitan dengan tempatnya.

Kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.