اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-237  : HUKUM MENDANDAN RAMBUT DAN MANDI WAJIB DENGAN RAMBUT DREADLOCK

Soalan:

Salam. Jika seseorang buat rambut dreadlock seperti Bob Marley. Adakah sah dia bersuci mandi wajib jika berjunub?

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT.  Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

 Latarbelakang Rambut Dreadlock

Rambut dreadlock, atau rambut gimbal mengikut Kamus Indonesia, ialah satu gaya rambut yang dipopularkan oleh golongan Rastafarian daripada Jamaica. Struktur dan fesyen rambut ini berbeza-beza tetapi secara umumnya ia boleh diperikan dengan rambut yang kelihatan seperti tali.  Terdapat pelbagai kaedah untuk mendapat gaya rambut dreadlock ini. Sebahagian orang rambut dreadlock ini diperolehi secara tabii manakala sebahagian yang lain melalui teknik dandanan.  Berdasarkan carian ringkas kami, ada cara yang menyebabkan pemiliknya tidak boleh membasuh dengan air dan ada yang boleh bahkan boleh dicuci dengan syampu. [1]

Adab Membela Rambut

Islam mementingkan imej yang bersih dan kemas. Dalam satu hadis, Ata` bin Yasar RA mengkhabarkan kepada Zaid bin Aslam RA bahawa:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْمَسْجِدِ فَدَخَلَ رَجُلٌ ثَائِرَ الرَّأْسِ وَاللِّحْيَةِ فَأَشَارَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِيَدِهِ أَنِ اخْرُجْ كَأَنَّهُ يَعْنِي إِصْلاَحَ شَعَرِ رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ فَفَعَلَ الرَّجُلُ ثُمَّ رَجَعَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: "‏ أَلَيْسَ هَذَا خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدُكُمْ ثَائِرَ الرَّأْسِ كَأَنَّهُ شَيْطَانٌ ‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW berada di masjid suatu ketika, kemudian masuk seorang lelaki yang berambut dan berjanggut menggerbang. Lalu Rasulullah SAW mengisyaratkan kepada lelaki itu dengan tangannya agar memperelokkan rambut dan janggutnya. Lelaki tersebut melakukannya dan datang kembali. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Bukankah ini lebih baik daripada salah seorang daripada kalian yang kusut masai seperti syaitan.”

            Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ (1702).

Imam al-Baji al-Maliki (w.474H) Rahimahullah mensyarahkan hadis ini: “Ini menunjukkan bahawa keluar daripada masjid itu untuk memperelokkan rambut itu adalah disuruh (oleh Syarak). Ini bagi kerana memperelokkannya di dalam masjid adalah dilarang kerana akan menyelerakkan masjid daripada apa yang jatuh daripada rambutnya. Mungkin juga itu akan mengganggu ahli masjid daripada kutu yang ada pada orang yang tidak menjaga rambut dengan menyikat dan membersihkan. Hukum bagi janggut juga seperti hukum rambut bahkan lebih utama; kerana kepala boleh ditutup sedangkan janggutnya terpampang.”

  Rujuk al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’ (7/269)

Imam al-Suyuti (w.911H) Rahimahullah berkata: “Tha’ir al-ra’s bermaksud menggerbangyakni rambutnya tegak berdiri.” Rujuk al-Dibaj `ala Sahih Muslim (1/12)

Dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah (hal. 78) menyebut antara perkara yang disebut sunah fitrah ialah: “al-iddihan (meminyakkan) yakni pada badan, dan sifatnya ghibban, ertinya masa ke masa, dan lebih kuat sunatnya apabila kulit menjadi kering dan sewaktu musim panas.”

Keterangan ini menunjukkan galakan menjaga imej yang baik. Pada zaman sekarang, boleh menggunakan minyak atau bahan perapi rambut, atau losyen untuk menjaga kulit untuk mencapai tujuan menjaga rambut, janggut dan kulit seperti yang digalakkan syarak.

Umat Islam juga dilarang daripada menonjolkan imej yang buruk dan menyerupai kaum yang bukan Islam. Larangan ini berdasarkan hadis-hadis yang banyak menunjukkan larangan Rasulullah SAW untuk orang Islam meniru imej orang bukan Islam. Antaranya, daripada Abdullah bin Umar R.anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia daripada kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Berkata Syeikh al-Azhim al-Abadi (w.1329H) Rahimahullah dalam `Aun al-Ma`bud (11/51): “Berkata al-Munawi dan al-`Alqami: yakni berhias pada luarannya dengan perhiasan mereka, berkelakuan seperti kelakuan dan petunjuk mereka pada pakaian dan sebahagian perbuatan mereka. Intaha. Berkata al-Qari’,“yakni barangsiapa yang menyerupai dirinya dengan orang kafir, contohnya pada pemakaian, dan selainnya, atau dengan orang yang fasiq, atau orang jahat, atau dengan ahli tasawuf dan orang-orang soleh lagi baik, (maka dia daripada kalangan mereka) ertinya pada dosa dan kebaikan.” Berkata al-`Alqami, “yakni barangsiapa yang menyerupai orang-orang soleh akan dimuliakan seperti mana mulianya mereka, dan barangsiapa yang menyerupai orang-orang fasiq, maka dia tidak akan dimuliakan. Barangsiapa yang meletakkan ke atas dirinya dengan alamat-alamat orang yang budiman maka dia akan dimuliakan sekalipun pada dirinya tidak tahqiq sifat budiman itu.”

Imam al-San’ani (w.1182H) Rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barangsiapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. Lihat Subul al-Salam (2/647).

Jelas bahawa kelakuan yang menyerupai orang bukan Islam adalah dilarang. Namun larangan itu, walaupun begitu, kadang-kadang bermaksud haram dan kadang-kadang bermaksud makruh. Berkata Imam Ibn Salah (w.643H) Rahimahullah dalam Fatawa-nya (2/473): “Maka sesungguhnya barangsiapa yang menyerupai satu kaum itu maka dia seakan-akan sebahagian daripada mereka. Penyerupaan dengan orang kafir, terkadang menjadi makruh, dan terkadang menjadi haram. Perkara tersebut kembali kepada keketaraan yang ada pada penyerupaan itu, sama ada sedikit atau banyak. Wallahua`lam.”

Contoh bagi penyerupaan yang haram adalah beraqidah dan beribadah dengan cara Nasrani atau Yahudi. Firman Allah Taala:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ  قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ  وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ  مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠﴾

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”

(Surah al-Baqarah : 120)

Syeikh al-Sa`di berkata: “Allah Taala memberitahu kepada Rasul-Nya bahawa orang Yahudi dan Nasrani tidak redha kepadanya sehingga dia mengikuti agama mereka, kerana mereka mengajak kepada agama yang mereka anuti dengan anggapan itulah petunjuk.” Rujuk Taisir al-Karim (hal. 64).

Begitu juga dengan penyerupai kelakuan dan pakaian ahli muzik yang lazim dengan maksiat seperti minum arak. Rujuk Asna’ al-Matalib (4/344) oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari (w.926H) Rahimahullah. Haram hukumnya.

Manakala jika penyerupaan itu sedikit, atau daripada sudut yang kecil sahaja, penyerupaan itu bersifat makruh. Contohnya seperti:

  1. Melakukan qaza` (memotong atau bercukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain). Rujuk al-Minhaj Syarh Muslim (10/101).
  2. Melumurkan kepala bayi selepas bercukur dengan darah aqiqah kerana mengikut adat Jahiliyyah. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (8/427).
  • Puasa secara tunggal pada hari Jumaat kerana orang Nasrani dan Yahudi mengkhususkan ibadah pada hari Khamis dan Jumaat. Rujuk al-Iqna` (1/245).

Ada pengecualian bagi larangan ini apabila suatu pakaian itu tidak lagi melambang kaum yang bukan Islam dan fasiq. Kesannya, suatu perlambangan itu boleh berubah menjadi harus. Berkata Imam al-Bujairimi (w.1221H) Rahimahullah dalam Tuhfah al-Habib (4/366) dalam isu membayar kafarah dengan memberikan kain tailasan/tiyalisah : “Dan disebabkan pemakaian al-tiyalisah pada masa kini bukan lagi menjadi syiar mereka (Nasrani dan Yahudi), bahkan sudah diangkat pada zaman kita dan berubah menjadi salah satu yang termasuk dalam perkara umum yang diharuskan. Betapa perkara ini telah disebut oleh Ibn Abd al-Salam dalam bid’ah-bid’ah yang dibenarkan. Berkata Ibn Hajar: Apabila sudah menjadi simbol bagi suatu kaum (yakni golongan yang baik-baik seperti ulama) maka dengan meninggalkannya pula akan menghilangkan maruah.”

Daripada sudut sejarah, pemakaian tiyalisah, atau kain penutup kepala ini, adalah syiar kaum Yahudi dan Nasrani. Maka hukum asalnya adalah makruh, seperti kata Syeikh al-Samhudi al-Syafie. Namun apabila kebanyakan mereka sudah meninggalkan pakaian ini sebagai simbol agama, ia berubah menjadi pakaian yang umum sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai simbol mereka yang boleh mengajar dan berfatwa, dan diijazahkan pemakaiannya. Pakaian jenis ini adalah harus dan tidak termasuk dalam larangan syarak meniru kaum lain. Pada hari ini, contohnya pemakaian baju berkot dan tali leher tidak dianggap sebagai peniruan bersifat agama atau kefasikan. Hukum memakainya adalah harus.

Hukum Ketelapan Air Rambut Dreadlock

Daripada sudut hukum, seseorang yang memiliki rambut dreadlock wajib memastikan air sampai ke rambut dan kulit pangkal rambut semasa mandi wajib. Jika gagal berbuat demikian, maka mandi wajib tidak sah dan begitu juga solat yang dilakukan selepas itu kerana dia masih berhadas besar.

Kami bawakan rujukan daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/89) berkenaan rukun kedua mandi wajib, iaitu meratakan air ke seluruh tubuh:

“Kedua: Membasahkan semua anggota badan yang zahir, kulit dan rambut serta meratakan air pada rambut hingga ke pangkalnya.

Hal ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA, katanya:

وَقَدْ سُئِلَ عَنِ الغَسْلِ فَقُلْتُ كَانَ النَّبِىُّ صلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْخُذُ ثَلاَثَةَ أَكُفٍّ وَيُفِيضُهَا عَلَى رَأْسِهِ، ثُمَّ يُفِيضُ عَلَى سَائِرِ جَسَدِهِ

Maksudnya: “Apabila ditanya tentang cara-cara mandi, dia menjawab, Nabi mengambil tiga raup air dan menjirus kepalanya. Kemudian Baginda menjirus pula ke seluruh badan.”

Riwayat al-Bukhari (253)

Hadith seterusnya, daripada Ummu Salamah R.Anha, aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang cara-cara mandi. Baginda bersabda:

إِنَّمَا يَكْفِيكِ أَنْ تَحْثِى عَلَى رَأْسِكِ ثَلاَثَ حَثَيَاتٍ ثُمَّ تُفِيضِينَ عَلَيْكِ الْمَاءَ فَتَطْهُرِينَ

Maksudnya: "Memadailah engkau jiruskan tiga raup air ke kepala, kemudian ratakannya ke seluruh badan. Dengan cara itu sucilah engkau.”

Riwayat Muslim (330)

Hadith yang lain pula daripada Ali RA, katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ مَوْضِعَ شَعْرَةٍ مِنْ جَنَابَةٍ لَمْ يَغْسِلْهَا فُعِلَ بِهِ كَذَا وَكَذَا مِنَ النَّارِ. قَالَ عَلِىٌّ فَمِنْ ثَمَّ عَادَيْتُ شَعْرِي

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan pangkal rambut daripada terkena air ketika mandi janabah walaupun sehelai, Allah akan melakukan begini-begini dengan api neraka. Ali berkata:  Sejak itu aku tidak menyukai rambutku.”

Riwayat Abu Daud (249) dan lain-lain

Sejak itu juga, Saiyidina Ali telah mencukur rambutnya.”

Berkenaan hadis Umm Salamah di atas, Imam al-Syirazi menyebut dalam al-Muhazzab: “Sekiranya bagi wanita itu sanggul-sanggul (pada rambut) yang sampai air kepada tanpa perlu diuraikan maka dia tidak wajib untuk menguraikannya. Ini kerana Umm Salamah R.Anha berkata: Wahai Rasulallah! Sesungguhnya aku wanita yang tebal sanggul kepalaku, apakah aku wajib menguraikannya untuk mandi daripada janabah? Maka bersabda Nabi SAW: Tidak! Sesungguhnya cukup bagimu untuk menjirus tiga raup air atas kepalamu kemudian meratakan seluruh tubuh badan, nescaya ketika itu anda sudah suci.”  Sekiranya air tidak sampai ke dalam sanggul maka wajib menguraikannya kerana sampainya air kepada rambut dan kulit itu wajib.”

Imam al-Nawawi (w.676H) Rahimahullah berkata perkara ini disepakati ulama Syafieyyah dan Jumhur Ulama. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (2/186-187).

Justeru, berdasarkan kenyataan di atas, semata-mata mempunyai rambut dreadlock tidaklah menyebabkan air mandi wajib tidak sah. Mandi wajib tidak sah apabila air tidak sampai ke rambut dan kulit kepala.

Kesimpulan

Berdasarkan keterangan di atas, kami menyimpulkan perkara-perkara berikut:

1. Mendandan rambut dengan fesyen dreadlock adalah haram jika dandanan tersebut menyebabkan air tidak boleh sampai pada rambut dan kulit kepala.

2. Haram menyambung rambut dengan rambut dreadlock, sama ada rambut yang asli atau rambut yang sintetik, berdasarkan keumuman larangan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma:

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ، وَالْوَاشِمَةَ وَالْمُسْتَوْشِمَةَ‏

        Maksudnya: “Nabi SAW melaknat wanita yang menyambung rambut dan meminta disambungkan rambutnya, pembuat tatu dan wanita yang meminta dibuatkan tatu untuknya.”

      Riwayat al-Bukhari (no.5940)

3. Haram juga pemakaian jika boleh menimbulkan persepsi dan pemahaman negatif kepada ramai orang bahawa dia adalah seorang penganut Rastafarian yang bertentangan dengan akidah Islam, terlibat dengan ganja atau perkara-perkara yang memabukkan, dan budaya muzik yang tidak selari dengan ajaran Islam.

4. Makruh jika penyerupaan itu tidak begitu ketara dan air masih boleh sampai ke rambut dan kulit untuk mandi wajib.

5. Harus jika rambut itu sekalipun dinamakan dreadlock tetapi memang tabiat kejadian rambut orang itu berambut sedemikian seperti faktor bangsa dan genetik, dan tidak menimbulkan persepsi buruk dalam kalangan masyarakat yang dia tinggal bersama.

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada semua supaya melaksanakan kewajipan solat seperti yang disyariatkan. Amin.

 

Nota hujung:

[1] https://en.wikipedia.org/wiki/Dreadlocks#Methods_of_making_dreadlocks