اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-79 : NAMA ALLAH SWT YANG AGUNG

 

 

Soalan:

Apakah nama Allah SWT yang agung?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Bagi menjawab persoalan di atas, di sana para ulama’ telah berbeza pendapat dalam menentukan nama-nama Allah SWT yang agung. Untuk itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan cuba menjawab persoalan di atas.

 

Matan Hadith

  • Daripada Abi Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

اسْمُ اللَّهِ الْأَعْظَمُ الَّذِي إِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ فِي سُوَرٍ ثَلَاثٍ: الْبَقَرَةِ، وَآلِ عِمْرَانَ، وَطه

Maksudnya: “Nama Allah yang Agung apabila kita berdoa dengannya akan dimustajab (oleh Allah SWT) ada di dalam tiga surah al-Baqarah, al-Imran dan Thaha”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 3846][Hadith ini dinilai hasan oleh al-Albani].

 

Pendapat Ulama’ Dalam Menentukan Nama Allah SWT Yang Agung

Telah berlaku perselisihan antara para ulama’ dalam menentukan nama-nama Allah SWT yang agung ini kepada 14 pendapat. Ini disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya: [Lihat: Fath al-Bari, 11/224, 225]

  • هُو
  • الله
  • الله الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم
  • الرَّحْمَن الرَّحِيْم الحَيُّ القَيُّوْم
  • الحَيُّ القَيُّوْم
  • الحَنَّان المَنَّان بَدِيْع السَمَاوَاتِ وَالأَرْض ذُوْ الجَلَالِ وَالإِكْرَام الحَيُّ القَيُّوْم
  • بَدِيْع السَمَاوَاتِ وَالأَرْض ذُوْ الجَلَالِ وَالإِكْرَام
  • ذُوْ الجَلَالِ وَالإِكْرَام
  • الله لَا إِلَهَ إِلَّا هُو الأَحَد الصَّمَد الَّذِيْ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُوْلَدْ وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوا أَحَد
  • رَبِّ رَبِّ
  • لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّيْ كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِيْنَ
  • هُوَ الله الله الله الَّذِيْ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ رَبّ العَرْشِ العَظِيْمِ
  • هُوَ مَخْفِي فِيْ الأَسْمَاءِ الحُسْنَى (Ia tersembunyi di dalam al-Asma’ al-Husna)
  • لَا إِلَهَ إِلَّا الله

 

Tarjih Dan Fatwa Imam al-Nawawi RA

Setelah kami meneliti dan menekuni pendapat para ulama’ dalam masalah ini, kami cenderung dan berpendapat seperti Imam al-Nawawi RA dalam masalah ini. Telah berkata Imam al-Nawawi RA di dalam fatwanya berkaitan nama-nama Allah SWT yang agung:

 

“Padanya terdapat banyak hadith berkaitan hal ini, contohnya seperti di dalam Sunan Ibn Majah dan selain daripada itu. Antaranya hadith seperti di atas yang diriwayatakan Abi Umamah RA. Telah berkata sebahagian para imam terdahulu yang dimaksudkan dengan nama Allah yang agung di dalam tiga surah tersebut adalah “هُوْ الحَيُّ القَيُّوْمُ” kerana ayat tersebut terdapat dalam surah al-Baqarah iaitu di dalam ayat al-Kursi, di awal surah al-Imran dan ayat ke 111 di dalam surah Thaha iaitu firman Allah SWT: “وَعَنَتِ الْوُجُوهُ لِلْحَيِّ الْقَيُّومِ”. Ini merupakan istinbat yang hasan”. [Lihat: Fatwa Imam al-Nawawi, 279]

 

Hikmah Berdoa Dengan Nama Allah SWT

Nama Allah SWT yang agung adalah sebagai salah satu cara untuk dimustajabkan doa. Dengan menyebut nama-nama Allah yang agung ini, doa dan permohonan seseorang hamba itu tidak akan ditolak oleh Allah SWT. Tambahan pula, hal ini dituntut oleh Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

 

وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا

Maksudnya: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu”. [al-A’raf: 180]

 

Walaubagaimanapun, apa yang penting ialah kita perlu meraikan adab-adab ketika, sebelum dan selepas berdoa. Antara adab-adab berdoa adalah kita bertawajjuh (menghadap kepada Allah SWT) serta bermohon kepada-Nya dengan bulat. Selain itu juga, kita perlu mengambil kira hukum asbab kerana ia juga merupakan salah satu bentuk doa, di samping berstrategi dan bertawakkal kepada Allah SWT dalam berdoa.

 

Penutup

Kesimpulannya, Allah SWT mempunyai nama-nama yang mulia dan agung dan tidak ada beza antara nama-nama tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh sebagian para ulama’. Akhirnya, marilah sama-sama kita memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT terutama di bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemulian ini. Di samping itu, masukkanlah nama-nama Allah SWT di dalam setiap doa kita agar doa-doa kita dimakbulkan oleh Allah SWT. Amin.